Siapa rumuskan arca Puncak Purnama ‘sakitkan mata’, soal badan arkitek

dbkl_arca-Puncak-Purnam_6001

PETALING JAYA: Sebuah pertubuhan mewakili arkitek hari ini membidas tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpu (DBKL) memusnahkan arca Puncak Purnama hasil seni bekas seniman negara Datuk Syed Ahmad Syed Jamal.

“Bandar raya utama dunia bangga mengekalkan warisan budaya dan binaan mereka bagi memastikan bandar raya sentiasa pesat, tempat penghunian yang mempunyai peninggalan berwarna-warni dan masa depan cerah.

“Kuala Lumpur bagaimana?” soal Jasmeet Singh Sidhu, presiden Persatuan Arkitek Perunding Malaysia (ACAM), dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan DBKL merobohkan arca yang dibina daripada bahan kaca seramik itu, dengan alasan ia tidak diselenggarakan dengan baik.

Puncak Purnama merupakan hasil ukiran Syed Ahmad Jamal yang dibina pada 1986 dengan kerjasama Kedutaan USA, dan dibiayai Kumpulan UMBC (yang disusun semula menjadi RHB Bank).

Susulan tindakan DBKL itu, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata arca berkenaan menyakitkan mata, dan berada dalam keadaan terbiar sehingga menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Kenyataan Adnan itu mengundang kemarahan balu Syed Ahmad.

“Bila saya dengar menteri cakap ia sudah tidak boleh diperbaiki, kepala tok dia,” kata Datin Hamidah Mohd Noor semalam.

ACAM mempersoalkan siapa yang bersalah sehingga menyebabkan arca tersebut berada dalam keadaan tidak diselenggarakan.

Jasmeet turut bertanya bagaimana pihak berkuasa membuat rumusan arca itu “menyakitkan mata”.

“Siapa pakar teknikal dan kesenian yang dihubungi sebelum keputusan dibuat mengisytiharkan struktur tersebut sebagai ‘menyakitkan mata’?” soalnya.

Beliau berkata jawatankuasa pakar seni dan teknikal yang sepatutnya perlu menasihati pihak berkuasa bagaimana menangani binaan yang mempunyai nilai seni.

“Pihak berkuasa perlu bertindak sebagai penjaga hasil seni awam dan dalam isu ini perlu lebih berhati-hati dan bertanggungjawab menjalankan tugas.

“Perkara berkait kepentingan awam perlu ditangani dengan telus dan bersungguh-sungguh, bukan atas hawa nafsu mana-mana individu,” kata Jasmeet.