75,000 pengunjung hadiri rumah terbuka PM

naji_raya1

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama anggota Kabinet beliau meraikan kira-kira 75,000 pengunjung pada majlis rumah terbuka Aidilfitri yang diadakan di Seri Perdana hari ini.

Majlis yang bermula jam 10.50 pagi dan berakhir 4 petang tadi turut dihadiri pelancong asing yang sesetengahnya tiba sejak 9 pagi lagi.

Cuaca panas hari ini tidak menghalang orang ramai termasuk pelancong asing yang berpusu-pusu ke majlis itu.

Najib yang berpakaian baju Melayu berwarna merah pulasan dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor yang berbaju kurung moden kelihatan begitu ceria menyambut ketibaan pengunjung ke majlis itu.

Terdahulu, Najib berkata, beliau gembira dengan sambutan hebat orang ramai terhadap majlis itu dan yakin kehadiran pengunjung yang terdiri daripada pelbagai kaum dan lapisan masyarakat dapat memupuk perpaduan serta keharmonian dalam kalangan rakyat negara ini.

Berikutan ancaman kumpulan militan di negara ini, pengunjung termasuk pelancong asing perlu melalui saringan keselamatan bagi menjamin keselamatan semua pihak.

Hadirin disajikan pelbagai hidangan tempatan seperti sate, soto ayam, ketupat, rendang dan pelbagai masakan lain.

BERNAMA