Bagi pekerja asing, Aidilfitri dirampas majikan bersama pasport

bangladesh-passport-1

PETALING JAYA: Sementara rakyat Malaysia berduyun pulang ke kampung bersama keluarga tersayang, ada umat Islam tidak berpeluang.

Satu-satunya peluang bagi mereka merasai suasana lebaran bila deria dialun takbir pagi raya.

Seorang warga Bangladesh yang bekerja di kawasan pembinaan di Kuala Lumpur berkata, tahun ini merupakan tahun kedua dia beraya tanpa anak dan isteri.

“Tiket pulang sangat mahal. Lagipun, saya hanya diberi cuti raya dua hari dan pasport dipegang majikan.

“Majikan takkan bagi pasport sampailah kerja selesai. Saya rindu keluarga, tapi saya tak ada pilihan. Tak banyak kerja di Bangladesh, kalau ada pun gajinya pula terlalu kecil.

“Kalau saya tak datang sini, anak saya kena berhenti sekolah dan kerja. Umurnya baru 14 tahun,” kata Kamal, 36 .

Nasib sama turut menimpa Kak Sunar, tukang cuci warga Indonesia.

Bercakap kepada FMT, ibu kepada tiga anak itu berkata sebahagian besar wang hasil titik peluh membersihkan rumah sekitar bandaraya dihantar pulang ke Surabaya untuk kegunaan keluarganya.

“Saya ada tiga anak, dua perempuan, satu lelaki. Seorang tu bersiap mahu ke universiti, yang lain masih mengaji. Saya kena kerja keras supaya anak-anak berjaya.

“Sudah empat tahun saya tak sambut raya dengan mereka, sebab nak pulang makan duit yang banyak. Lagipun ada pelanggan agensi mahu rumah dicuci sebelum dan selepas dilawat sanak saudara dan rakan taulan.

“Jadi ejen tak izin kami balik. Takpalah, mungkin saya boleh buat duit lebih supaya anak-anak boleh sambut cuti macam anak-anak orang lain di kampung…”

Seorang lagi pencuci memberitahu FMT, pasportnya dalam simpanan majikan dan dua tahun sudah berlalu dia tak dapat pulang bertemu keluarga kerana majikan tak benarkan.

Tak terkata rindunya terutama di Hari Raya, tapi dia cekalkan hati dan sekurang-kurangnya boleh berhubung melalui telefon.

“Macam tahun lalu, mereka telefon ucap ‘Selamat Hari Raya’, kongsi cerita sambut raya, dan mereka ternanti-nanti hari saya pulang dan beraya dengan mereka.

“Anak saya bekerja sambil belajar kerana dia mahu datang jenguk saya di sini. Kehadirannya mengubat sedikit rasa sedih, bila melihat orang lain dan keluarga raikan raya bersama.

“Takpalah. Hidup memang begitu kan. Cekalkan hati, dan tunggulah hari nasib menyebelahi kita.”

Baru-baru ini, Abby McGill, pengarah kempen Forum Hak Buruh Antarabangsa berkata Malaysia mempunyai jumlah pekerja asing keempat terbanyak di dunia, dan pekerja asing seramai tiga hingga empat juta itu terdedah kepada eksploitasi di pelbagai industri.

Jabatan Negara Amerika Syarikat turut mendapati amalan rampas pasport adalah meluas dan lazimnya tidak dihukum, lalu Malaysia ditempatkan dalam senarai pemerdagangan manusia Peringkat 3 – peringkat yang dikhususkan untuk pesalah terburuk – pada 2001 , 2007, 2009 dan 2014.