Bagi pelarian Rohingya, tiada istilah ‘balik kampung’

Rohingya-raya

SELAYANG: Ketakutan yang masih tidak dapat dilupakan oleh pelarian Islam Rohingya dari Myanmar di Flat Taman Wilayah, Selayang membuatkan kebanyakan mereka memilih menyambut Hari Raya Aidilfitri kali ini secara bersederhana.

Mohamad Sultan, 68, ketua komuniti Rohingya di sini, berkata kesedihan tetap terasa apabila terkenang nasib sebahagian keluarganya yang kebanyakannya dibunuh akibat perbalahan berdarah antara etnik Buddha dan Islam di Arakan yang merupakan kampung halamannya.

Katanya, keinginan balik ke kampung halamannya itu tinggi. Namun disebabkan takut menjadi mangsa pembunuhan pelampau Buddha, dia memilih tinggal di Malaysia meneruskan kehidupannya.

“Raya tahun ini macam biasa tiada sambutan untuk kami pelarian Islam Rohingya yang tinggal di sini. Kebiasaannya pada Hari Raya, kita hanya pakai pakaian harian seperti biasa dan makan makanan yang sedia ada.

“Selesai solat sunat Aidilfitri, kita duduk di rumah sahaja,” katanya kepada FMT ketika ditemui di kediamannya di sini.

Sambil bergenang air mata, Sultan sempat berkongsi kesedihannya apabila mengenang kematian kakaknya yang merupakan salah seorang mangsa yang terkorban dalam rusuhan di kampung halamannya.

Katanya, pertembungan dua etnik di Myanmar itu sejak sekian lama akan berakhir dengan kesedihan.

Situasi itu juga menyebabkan beliau terpaksa menjadi pelarian dan sudah 14 tahun menetap di Malaysia.

“Saya masih menjadi pelarian dan keluarga saya di sana masih meneruskan perjuangan hidup dan meneruskan kehidupan dalam keadaan ketakutan.

“Bagi saya, apa yang penting, saya ke sini menyelamatkan isteri dan empat orang anak saya dan meneruskan kehidupan di sini,” katanya yang sebak menceritakan nasib keluarganya di kampung.

300 keluarga pelarian Islam Rohingya

Menurut Sultan, sudah 300 keluarga pelarian Islam Rohingya menetap di Flat Taman Wilayah.

Kebanyakan mereka memilih menetap di sini kerana dapat melarikan diri daripada menjadi mangsa pembunuhan di kampung halaman masing-masing.

Ramai antara mereka sudah memiliki pas Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) bagi berurusan dan mencari pekerjaan menyara kehidupan keluarga mereka masing-masing.

Kebanyakan mereka juga sudah bekerja dan mempunyai pendapatan sekitar RM900 yang terdiri daripada perkerjaan seperti menyapu sampah, mengambil upah jahit baju dan pembantu penjual sayur di Pasar Borong Selayang.

Kata Sultan, duit gaji yang mereka miliki itu cukup membiayai kos sewa rumah, makan-minum dan menyara persekolahan anak-anak mereka.

Sentimen anti-penduduk Islam meluas ke seluruh Myanmar sejak tahun kebelakangan ini, dengan keganasan paling teruk berlaku di wilayah tengah negara itu dan di negeri Rakhine yang banyak dihuni minoriti Muslim Rohingya.

Pelampau terdiri daripada sami dan golongan berhaluan kanan Buddha tidak pernah mengiktiraf kaum Rohingya, sebaliknya menganggap mereka rakyat Bangladesh yang tidak perlu dikasihani.

Aung San Suu Kyi, yang selama ini menjuarai isu hak asasi dan demokrasi, turut dikritik kerana tidak mengambil tindakan terhadap nasib Rohingya serta penganiayaan yang mereka alami.