GMM kutuk serangan pengganas

Nasharudin-Mat-Isa_Masjid-Nabawi_600

KUALA LUMPUR: Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) mengutuk sekeras-kerasnya serangan terbaru pengganas di Jeddah, sebuah masjid di Qatif dan pusat pemeriksaan keselamatan berhampiran Masjid Nabawi di Madinah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nasharudin Mat Isa berkata yayasan tersebut juga mengutuk serangan ganas di sebuah kafe di Dhaka, Bangladesh, Jumaat lepas, serta serangan pertama kumpulan Daesh di sebuah pusat hiburan di Puchong, Selangor yang menyebabkan lapan orang awam cedera pada 28 Jun lepas.

“Tindakan ngeri ini bercanggah dengan kepercayaan mana-mana agama,” katanya dalam kenyataan di sin hari ini.

“Justeru, GMM menggesa supaya siasatan menyeluruh terhadap insiden tersebut dijalankan serta hukuman segera dilaksanakan terhadap pelaku serangan ganas ini yang membawa kepada banyak kematian orang awam yang tidak berdosa,” katanya.

Yayasan GMM menzahirkan rasa simpati yang mendalam dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa serta mengatakan doa kepada jemaah di Masjid Nabawi di Madinah.

Menurut laporan, sekurang-kurang empat terbunuh dalam insiden letupan di Masjid Nabawi semalam dan sekurang-kurang 20 orang dan dua anggota polis terbunuh oleh kumpulan pengganas dalam serangan di Dhaka.

Bernama