Kawalan ketat, pemeriksaan rapi di KL Sentral

liow-tiong-lai_klia

PUTRAJAYA: Kawalan keselamatan di KL Sentral diperketatkan memandangkan ia salah satu pintu masuk utama ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Berikutan itu, semua penumpang KL Sentral diperiksa rapi termasuk beg-beg yang dibawa oleh mereka.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pemeriksaan akan dilakukan menggunakan sensor serta mesin pengimbas.

Menurut laporan Bernama, ia adalah sebahagian daripada langkah berjaga-jaga dalam menghadapi ancaman serangan pengganas di kawasan lokasi tumpuan ramai.

Turut dikawal, semua pintu masuk utama seperti lapangan terbang, stesen keretapi dan pelabuhan.

“Di KL Sentral, kita telah memasang lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) dan mesin pengimbas untuk penumpang yang masuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 melalui KL Sentral. Ia merupakan pintu masuk kepada KLIA,” kata Liow ketika ditemui di Rumah Terbuka Hari Raya Perdana Menteridi Kompleks Seri Perdana.

“Walaupun KL Sentral pernah diberi kelonggaran dalam aspek keselamatan kerana ia bukan check point ke KLIA tetapi, kini situasinya berbeza,” tambahnya.

Namun, rakyat diminta supaya tidak panik kerana negara berada dalam keadaan stabil dan selamat serta semua prosedur operasi standard (SOP) keselamatan telah diaktifkan untuk menjaga kesejahteraan rakyat.

Jumaat lepas, Liow berkata kawalan keselamatan di pintu masuk KLIA dan klia2 telah dipertingkatkan ke tahap ambar sejak Mac.