Kemahiran bahasa Inggeris kunci kejayaan pemandu teksi popular

teksi-1

PETALING JAYA: Setiap pemandu teksi perlu bersikap terbuka dan berusaha memahirkan diri dalam bahasa Inggeris yang merupakan bahasa dunia, kata pemandu teksi veteran Abdul Rahman Idris.

Beliau yang merupakan Duta Teksi Pelancongan itu berkata, teksi di Malaysia mempunyai potensi untuk menjadi duta kepada negara namun masih banyak yang perlu dilakukan mereka dan juga pihak berwajib.

Beliau yang mesra dipanggil ‘Uncle Rahman’ di kalangan pelanggan tetapnya berkata rahsia perniagaannya adalah penguasaan dalam bahasa Inggeris.

“Apabila anda mahir berbahasa Inggeris, banyak peluang yang akan terbuka. Kita juga akan menjadi bukan pemandu semata-mata kerana mampu berbual dengan penumpang dan seterusnya membina ikatan,” katanya sambil berkata turut memiliki pelanggan tetap di kalangan warga asing.

Beliau berkata, penguasaan bahasa itu juga membolehkan pemandu teksi mempromosikan tarikan dan kelebihan negara kepada pelancong.

“Kita boleh beritahu mereka tentang acara, budaya, makanan dan tempat-tempat untuk dikunjungi,” katanya.

Rahman terkenal dengan teksinya yang dipenuhi kira-kira 700 mainan dari seluruh dunia, dan menerima pengiktirafan sebagai Duta Teksi Pelancongan daripada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Katanya lagi, pemandu teksi juga perlu berlaku jujur dan amanah dan tidak boleh sesekali menipu pelanggan kerana ia akhirnya akan merugikan pendapatan mereka sendiri.

“Jika anda menipu seorang penumpang, pasti dia tidak akan naik teksi ada lagi.”

Namun, beliau berpandangan tidak adil untuk masyarakat menyalahkan semua pemandu teksi hanya kerana wujud segelintir yang beperlakuan sebegitu.

“Bukan semua teksi bersikap buruk, ramai pemandu teksi yang jujur dan baik di luar sana.”

Katanya lagi, menebalnya persepsi itu adalah kerana kurangnya penguatkuasaan terhadap pemandu yang melanggar undang-undang, dan justeru pihak berkuasa haruslah memainkan peranan yang lebih berkesan.

Beliau juga menggesa Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan agar mengambil langkah proaktif untuk membantu pemandu teksi menjadi duta pelancongan negara.

“Berapa ramai pemandu teksi yang maklum tentang acara dalam negara?”

Banyak acara dan promosi menarik yang dianjurkan namun pemandu teksi tidak tahu tentangnya, katanya lagi.

Justeru beliau mencadangkan agar kerajaan memberi taklimat atau membekalkan bahan-bahan promosi kepada mereka agar dapat turut sama menghebahkannya kepada pelancong.