Pulau Pinang berjaga-jaga hadapi ancaman

Datuk-Abdul-Ghafar-Rajab

GEORGE TOWN: Pulau Pinang mengetatkan kawalan keselamatan ekoran pengesahan serangan bom di Puchong didalangi kumpulan pengganas Daesh.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata, polis meningkatkan rondaan di seluruh negeri supaya penduduk negeri itu dapat menyambut Hari Raya dalam suasana aman tanpa sebarang kejadian yang tidak dikehendaki.

Kira-kira 5,000 anggota polis kontinjen negeri yang bertugas kini bersiap sedia menghadapi sebarang ancaman bagi memastikan Pulau Mutiara kekal selamat, aman dan tenteram pada musim perayaan ini.

“Hanya 10 peratus daripada jumlah 6,000 anggota dan pegawai polis di Pulau Pinang dibenarkan untuk bercuti sempena sambutan Aidilfitri.

“Jumlah rondaan Unit Kereta Peronda (MPV) di daerah Timur Laut telah di tambah daripada lima buah ke 15 buah yang menjalankan rondaan 24 jam sehari khusus untuk musim perayaan ini,” katanya dalam Majlis Rumah Terbukanya di Georgetown, lapor Bernama.

Pihaknya tidak mahu sebarang insiden seperti letupan bom yang berlaku di Puchong pada 28 Jun lalu sehingga menyebabkan lapan orang cedera berulang.

Beberapa kawasan ‘panas’ dikenalpasti dan jumlah pegawai polis dipertingkat bagi menjamin keselamatan orang ramai khususnya pelancong yang melawat pulau itu sempena musim perayaan dan cuti panjang.

Antara kawasan ‘panas’ yang dikenal pasti ialah pusat hiburan, pusat pentadbiran kerajaan dan juga kawasan tumpuan orang ramai.

Buat masa ini, tahap keselamatan Pulau Pinang masih terkawal dan tiada laporan dikaitkan dengan Daesh.