Rakyat Malaysia sambut Aidilfitri di Kedutaan

raya

JAKARTA: Lebih 300 rakyat Malaysia yang beragama Islam di Jakarta hari ini berhimpun dan menyambut hari raya Aidilfitri di Kedutaan Besar Malaysia di Jalan Rasuna Said di sini.

Acara sambutan hari raya itu dimulai dengan takbir raya dan disusuli solat sunat Aidilfitri pada 7.30 pagi di lobi utama Kedutaan Besar Malaysia yang disertai pegawai dan kakitangan kedutaan, rakyat Malaysia yang bekerja di sini serta pelajar Malaysia.

Solat sunat Aidilfitri diimamkan Atase Agama Abang Zainal Abidin Abang Ariffin yang juga menjadi khatib membaca khutbah hari raya.

Para tetamu diraikan oleh Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan isteri Datin Seri Che Mahani Ismail serta Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN Datuk Hasnudin Hamzah dan isteri Datin Rusnah Ismail.

Tetamu kemudiannya diraikan dengan jamuan Hari Raya Aidilfitri yang menyajikan pelbagai juadah Malaysia seperti ketupat, lemang, rendang, sate, nasi minyak, laksa serta kuih-muih.

Zahrain memberitahu Bernama di sini, kira-kira 300 rakyat Malaysia berbilang kaum termasuk pelajar Malaysia yang kebanyakannya sedang menuntut dalam jurusan perubatan di beberapa buah universiti di sini, turut menghadiri jamuan itu.

Katanya majlis sambutan hari raya itu adalah acara tahunan dan ia memberi peluang kepada rakyat Malaysia di Jakarta untuk berjumpa dan berkenalan antara satu sama lain serta meraikan hari raya dalam suasana kekeluargaan.

Sementara itu, Che Mahani berkata juadah hari raya itu disediakan oleh Persatuan Wanita Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia (Perwakilan) dan antara menu istimewa pada tahun ini ialah Laksa Penang.

“Kita mahu rakyat Malaysia berpeluang menikmati makanan masakan Malaysia supaya mereka terasa seperti berada di tanah air,” katanya.

Zahrain dan Che Mahani kemudiannya turut menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak rakyat Malaysia yang menghadiri sambutan hari raya itu.