Rumah terbuka Perdana Menteri utamakan tahap keselamatan

najib-razak

PUTRAJAYA: Sambutan majlis rumah terbuka di kediaman Perdana Menteri di Seri Perdana berjalan lancar dengan mengutamakan tahap keselamatan.

Dimaklumkan, setiap tetamu menjalani proses imbasan, beg mereka juga diperiksa sebelum memasuki kediaman perdana menteri.

Mstar melaporkan pemeriksaan rapi itu dibuat untuk kali kedua di pintu masuk utama ke kediaman rasmi perdana menteri bagi mengelakkan sebarang keraguan.

Beribu orang dikatakan mengunjungi majlis rumah terbuka yang bermula sejak jam 9 pagi lagi.

Warga tempatan dan pelancong asing tidak mahu melepaskan peluang bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor serta menteri-menteri kabinet lain.

Sementara itu, dalam perutusan Hari Rayanya hari ini, Najib menggesa supaya salah faham mengenai Islam oleh sesetengah pihak perlu diperbetulkan bagi mengelak prasangka dan ketakutan terhadap Islam.

Beliau mengakui, segelintir umat Islam sendiri yang mempamerkan contoh salah, tidak menggambarkan Islam yang sebenar, mengambil contoh insiden pengebom bunuh diri, militan Daesh dan perkembangan ideologi kemelampauan atau ekstremisme.

“Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan kejam pengganas yang berlaku baru-baru ini antaranya di Indonesia, Belgium, Perancis, Turki dan Bangladesh,” katanya.

Semalam, pengebom bunuh diri menyerang tiga bandar di Arab Saudi iaitu Madinah, Qatif dan Jeddah.

Sebagai kerajaan yang menentang keganasan dan ekstremisme, Najib bertegas
akan sentiasa memantau memastikan sebarang pengaruh ideologi mahupun ajaran dan amalan yang menyimpang daripada Islam yang sebenar tidak berkembang di negara ini.

Beliau juga turut berucap mengenai soal keamanan, perpaduan, ekonomi negara dan usaha gigih Barisan Nasional (BN) dalam memacu kemajuan negara dan membela nasib rakyat.