Saya tidak arah serang Movida – Muhammad Wanndy

Muhammad-Wanndy-Mohamed-Jedi

PETALING JAYA: Seorang pengganas IS di Syria menafikan dia adalah dalang di sebalik serangan bom ke atas pusat hiburan Movida di Puchong pada minggu lalu.

Muhammad Wanndy Mohamed Jedi dipetik Astro Awani sebagai menafikan dia memberi arahan kepada suspek untuk melakukan letupan bom yang disahkan Ketua Polis Negara sebagai serangan IS pertama di Malaysia.

“Ini adalah tuduhan berat dan usaha untuk menjadikan para ikhwan tertangkap sebagai kambing hitam. Mereka (polis) mereka-reka cerita semata-mata untuk memusing fakta penangkapan dan mengalihkan perhatian rakyat daripada isu semasa Malaysia yang semakin parah.

“Mereka yang ditangkap cuma penyokong biasa yang menyatakan sokongan kepada khilafah Islam dan mereka tidak pernah sesekali mendapat arahan dari ana untuk menyerang pemimpin dan para hakim,” katanya dalam catatan di Facebook semalam.

Bagaimanapun, pemuda berusia 26 tahun dari Melaka itu berikrar akan membalas dendam dengan melancarkan serangan besar di Malaysia jika mereka yang ditahan itu “dihukum”.

Polis menamakan Muhammad Wanndy sebagai dalang yang memberi arahan untuk menyerang pusat hiburan Movida di Puchong pada 28 Jun lalu sehingga mencederakan lapan pengunjung yang sedang menyaksikan perlawanan bola sepak Euro 2016 di bahagian luar pub itu.

Menurut polis, serangan itu adalah cara Muhammad Wanndy membalas dendam terhadap pendakwaan ke atas abangnya, Mohamed Danny di sebuah mahkamah di Melaka pada bulan lalu kerana menyalurkan dana kepada kumpulan pengganas berkenaan.

Dalam pada itu, portal berita terbabit turut memetik Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Mohamad Fuzi Harun sebagai berkata, polis tidak memandang enteng sebarang ancaman pengganas dan akan sentiasa memantau kegiatan mereka walaupun mereka tidak mampu melancarkan serangan besar-besaran.