Tak cukup tangan terima tempahan baju Melayu kucing

raya-kucing1

KUALA LUMPUR: Selepas viral sebuah syarikat menjual baju Melayu dan songkok kucing, dua orang usahawan muda kini “tidak menang tangan” mendapat tempahan daripada orang ramai.

Pemilik Meowku Enterprise, Mohammad Affan Aizat Anuar, 27, berkata pada mulanya mereka bercadang menghasilkan sebanyak 10 pasang baju Melayu setiap minggu tetapi kini mereka terpaksa menambah lagi pembuatannya.

“Asalnya kami nak buat 10 pasang setiap minggu. Tetapi kami terpaksa tambahkan input bagi memenuhi permintaan orang ramai.

“Daripada 10 tempahan kami kini menggandakan kepada 20,” katanya ketika ditemui FMT baru-baru ini.

Beliau yang berkelulusan sarjana muda kejuruteraan mekanikal berkata, sehingga kini pihaknya memperolehi tempahan daripada seluruh negara termasuk Singapura dan Brunei.

“Permintaan itu sangat memberangsangkan setakat ini. Selepas raya pun kami dapat terima tempahan. Kami pun tak sangka sambutan sampai macam ini,” katanya.

Menceritakan lebih lanjut, Affan berkata operasi beliau dibantu rakannya Nur Athirah Ahmad, 24, dan ibunya Rosnani Abd Ghani, 57.

Katanya, dari segi pembahagian tugas, Nur Athirah menghasilkan songkok untuk kucing dan memasarkan produk, ibunya Rosnani menghasilkan baju Melayu kucing manakala tugasnya menghantar barang-barang itu.

“Perniagaan kami berdasarkan online. Bila mendapat tempahan, saya akan beli kain dan balik ke Kuantan untuk mak saya membuat baju tersebut,” katanya.

Baju Melayu kucing yang dijualnya berharga RM60 manakala harga songkok kucing ialah RM10.

“Tetapi selalunya bila orang minta baju Melayu, mereka akan beli dengan songkok.

“Manakala dari segi saiz baju Melayu kucing pula, ia dibuat dengan cara custom,” jelasnya.

Bagaimana timbulnya idea baju Melayu kucing? Nur Athirah berkata ia tercetus ketika Aidilfitri tahun lalu.

“Raya tahun lepas, keluarga dia (Affan) bergambar dengan kucing tapi terfikir semua pakai baju raya tapi kucing tak ada baju.

“Dari situlah ideanya datang untuk buat baju kucing. Itu yang kita keluarkan benda ini (baju Melayu kucing) tapi tak sangka jadi viral sebab pada mulanya ada yang kata benda ini macam kelakar, tapi tak sangka ramai yang demand benda itu,” jelasnya.