Tiga rakan maut, kereta terputus dua

acdnt_dead_600__1

KLUANG: Tiga pelajar lelaki terbunuh manakala seorang lagi parah apabila kereta yang mereka naiki hilang kawalan sebelum terbabas lalu melanggar sebatang pokok di KM32 Jalan Yong Peng, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, pemandu kereta Proton Iswara Aeroback, Muhammad Nabil Fahmi Bakhtiar, 17, bersama dua rakan, Basrie Bunawan dan Mohamad Nor Fitri Mohamad Sabtu, kedua-dua berusia 19 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Seorang lagi penumpang, Nur Muhammad Amin Saiman, 17, mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Kluag untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Mohamad Laham berkata, ketika kejadian, semua sahabat karib itu dalam perjalanan dari Kluang ke Paloh.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kereta yang dipandu Muhamad Nabil dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar sepohon pokok besar di bahu jalan arah bertentangan.

“Akibat pelanggaran itu, kereta tersebut terputus dua dan enjin tercabut sementara badan kereta pula melekat pada batang pokok,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat.

BERNAMA