Walau diasingkan, pengikut Ahmadiah tetap sambut Syawal meriah

islam1_ramadan

KUALA LUMPUR: Barangkali ramai menganggap penganut Ahmadiah seakan-akan makhluk asing, sama sekali berlainan dengan umat Islam lain baik dari segi ritual mahu pun ajarannya.

Walaupun dikategorikan keluar ajaran Islam oleh pihak berkuasa agama, penganut Ahmadiah di Malaysia menjalani tuntutan agama seperti umat Islam lainnya, termasuk puasa di bulan Ramadan dan merayakan Hari Raya Aidilfitri.

“Sama sahaja dengan orang Islam lain,” kata pemimpin komuniti Ahmadiah Malaysia, Ainul Yaqeen Sahib.

FMT bertemu Ainul di Darussalam, bangunan sederhana tiga tingkat di Kampung Nakhoda, Batu Caves, yang menjadi pusat komuniti aliran itu di Malaysia sejak tahun 1950-an lagi.

Setiap kali Ramadan, katanya lagi, mereka menganjurkan majlis berbuka puasa sekali seminggu (kebiasaannya pada hari Sabtu) yang disertai penganut aliran itu yang tinggal berdekatan.

“Ramai di sini, anggota dari Shah Alam, Klang dan Ampang akan datang. Kami makan bersama-sama, solat maghrib, isyak dan tarawih dan selepas itu kuliah atau sesi perkongsian,” katanya lagi.

Mereka turut mengamalkan budaya kunjung mengunjung ke rumah dan juga penduduk sekitar pada hari lebaran.

“Dulu masyarakat di sini kekok untuk terima. Sekarang mereka lebih memahami memandangkan kami sudah lama hidup bersama.

“Kecuali untuk solat Aidilfitri, kami menyewa tempat sendiri. Dan diadakan makan-makan bagi meraikan ahli yang datang dari jauh serta orang di luar jemaah yang mahu melihat sambutan kami,” katanya lagi.

Aliran Ahmadiah diasaskan Mirza Ghulam Ahmad pada 1889 di Qadian, India, justeru mendapat nama Qadiani.

Apa yang memisahkan Ahmadiah dengan aliran Islam yang lain adalah pegangan mereka bahawa pengasasnya, Mirza Ghulam Ahmad, merupakan Imam Mahdi dan juga Isa al-Masih.

Pada 1975, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal-Ehwal Ugama Islam Malaysia menetapkan penganut Ahmadiah sebagai terkeluar daripada Islam.

Fatwa itu diperkukuhkan lagi apabila mesyuarat Majlis Raja-raja ke-101 pada tahun sama mempersetujui fatwa itu.

Al-Quran sama, kiblat sama

Ainul berulang-kali menegaskan Ahmadiah hanyalah salah satu daripada banyak aliran dalam Islam.

“Al-Quran yang kami baca ini bukan cetakan Ahmadiah. Pihak berkuasa agama kata kami menukar ayat dalam al-Quran. Saya minta mereka periksa naskhah kami, mereka terdiam dan gagal membuktikannya.

“Dan anda sendiri lihat kami bersolat jemaah tadi, bukan?” katanya lagi.

Kitab rujukan dan terjemahan al-Quran pelbagai bahasa memenuhi rak-rak buku di ruang tamu Darussalam. Antaranya adalah Sunan At-Tirmidzi, Sunan Abu Daud, Sahih Bukhari dan Muslim – perawi Hadis yang turut menjadi rujukan umat Islam aliran Sunnah di seluruh dunia.

Yang berbeza, kata Ainul lagi, adalah penafsiran teks agama memandangkan aliran itu memiliki sumber rujukannya sendiri.

Namun hakikatnya, penganut aliran ini tidak lekang daripada diskriminasi dan penindasan pihak berkuasa dan penganut aliran majoriti.

Pada Mei 2010, pengganas menyerang dua masjid Ahmadiah di Lahore dengan bom tangan dan senapang automatik, menyebabkan 86 terbunuh dan lebih 120 cedera.

Pada 6 Februari 2011, sejumlah 1,500 orang mengepung kawasan Ahmadiah di Cikeusik, Banten, Indonesia dan memukul sehingga mati tiga penganut aliran itu dan mencederakan lima yang lain.

Rakaman pembunuhan itu yang tersebar di YouTube menggemparkan seluruh dunia.

Walaupun pesimis dengan pihak berkuasa agama di sini, Ainul tetap berharap Ahmadiah diterima sebagai salah satu aliran dalam Islam.

“Apa yang kami hadapi sama seperti Syiah dan Wahabi. Kerajaan hanya mengiktiraf satu aliran sahaja, walhal ia terbahagi banyak. Kemahuan itu sebenarnya menolak al-Quran dan kata-kata Nabi sendiri.

“Allah sendiri berfirman, Dia boleh mencipta satu umat jika dimahukan-Nya, tetapi Allah tidak berbuat demikian. Rasulullah juga bersabda umatnya akan berpecah kepada 73 golongan. Ini tidak boleh dinafi dan harus terjadi,” katanya lagi.