‘Hotel’ percuma HKL ringan beban keluarga pesakit

rumah

KUALA LUMPUR: Melawat orang tersayang di hospital bukan perkara mudah kerana ia memerlukan masa serta kos yang banyak dan ia bertambah sukar buat mereka yang tinggal di luar Lembah Klang.

Mengambil kira faktor itu, Persatuan Pegawai Pembangunan Masyarakat (Perubatan) Malaysia memulakan misi menyediakan rumah perantaraan untuk ahli keluarga pesakit Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang perlu menjalani rawatan bagi tempoh lama untuk menjimatkan masa dan kos berulang-alik ke hospital setiap hari.

Idea itu direalisasikan pada Mac 1995 menerusi penyewaan lima unit rumah pangsa Pekeliling di Jalan Pahang sebelum ia berkembang kepada 24 unit bagi menampung keperluan pesakit atau ahli keluarga mereka yang datang dari luar Lembah Klang.

Apabila Flat Pekeliling dirobohkan pada 2007, rumah perantaraan itu dipindahkan ke Perumahan Awam Desa Rejang di Taman Setapak Jaya dengan menyewa 10 unit rumah daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Lokasi itu hanya terletak kira-kira 10 kilometer dari HKL dengan perkhidmatan van disediakan berulang-alik sekali setiap hari, selain pengangkutan awam turut melalui kawasan itu.

Pegawai Jabatan Kerja Sosial Perubatan HKL, Zulhan Ambi memberitahu FMT, persatuan itu turut menyediakan rumah perantaraan di Ipoh dan Muar, dengan kemudahan di ibu negara itu kebanyakannya untuk pesakit negeri lain, seperti Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan.

Jelasnya, setiap unit rumah pangsa itu dilengkapi tiga bilik berperabot yang boleh memuatkan lima orang dan mempunyai kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air, kipas, sofa, televisyen, peti sejuk, ketuhar mikro dan periuk nasi.

“Ini cara kita hendak membantu pesakit. Kami tetapkan ‘sumbangan’ RM5 kepada mereka yang mampu.

“Jika tidak mampu, mereka tidak perlu bayar. Kadangkala ada pesakit yang menyumbang RM50 atau RM100,” katanya.

Zulhan berkata, pesakit dan ahli keluarga yang mahu tinggal di rumah perantaraan perlu mendapat sokongan doktor HKL dan mengisi borang rujukan yang boleh didapati di wad, klinik atau Jabatan Kerja Sosial Perubatan HKL.

“Setiap pesakit atau orang tersayang mereka dibenarkan tinggal selama dua minggu, selepas itu mereka boleh memohon lanjutan tetapi kebanyakan mereka biasanya hanya tinggal untuk beberapa hari,” katanya.

Menurutnya, persatuan itu giat mencari lebih banyak penaja untuk rumah perantaraan dan pengangkutan percuma.

“Kami ada sebuah van yang disumbangkan Yayasan Habib tetapi kami masih perlu membayar gaji pemandu, minyak dan kos penyelenggaraan,” katanya.

Buat masa ini, rumah perantaraan itu turut disokong Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia, Yayasan Habib, Pejabat Perhubungan Negeri Sabah, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Pusat Zakat Selangor.