Jangan tutup pintu, dunia perlu bantu pelarian

syrian-refugees_600

ULAANBAATAR (Mongolia): Masyarakat dunia diminta tidak menutup pintu kepada pelarian, sebaliknya semua negara perlu menerima mereka dengan tangan terbuka.

Ahli Parlimen dari Berlin, Carsten Schatz berkongsi pengalaman rakyat Jerman membantu pelarian Syria yang melarikan diri ke Eropah.

Wakil rakyat itu berkata, penduduk Berlin hanya diberikan notis dua jam sebelum pelarian terbabit tiba di ibu negara Jerman itu, tahun lalu.

“Rakyat segera menawarkan diri untuk membantu mengemas sebuah gimnasium sekolah di mana pelarian akan berlindung dan membantu memasang katil untuk mereka.

“Rakyat masih menawarkan diri dengan mengajar bahasa Jerman serta membantu mereka berintegrasi, manakala yang lain memberi sokongan logistik dari segi menyedia dan mengagihkan makanan kepada pelarian,” katanya kepada FMT di luar Forum Rakyat Asia-Eropah ke-11.

Carsten berkata, penduduk setempat juga akan menyediakan makanan sahur dan berbuka puasa kepada pelarian yang majoritinya beragama Islam.

Tambahnya, masyarakat Kristian tempatan turut menganjurkan sebuah pameran seni menampilkan karya-karya pelarian yang boleh dibeli orang ramai.

Carsten berkata, masyarakat setempat tidak xenofobia mahupun mencurigai pelarian kerana kebimbangan utama mereka adalah untuk membantu pelarian menyesuaikan diri dengan masyarakat setempat.

“Sememangnya ramai yang akan bertanya pelbagai soalan mengenai pelarian, seperti berapa lama dan kenapa mereka berada di sini, adakah mereka akan balik dan sebagainya, tetapi jika anda biar pelarian menceritakan kisah mereka, orang akan faham.

“Ini adalah orang yang mengembara beribu kilometer, terpaksa berjalan untuk sebahagian besar perjalanan mereka dan mengalami trauma melihat ramai yang mati,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, rakyat dan kerajaan sesebuah negara perlu bersimpati terhadap penderitaan golongan terbabit yang terpaksa menjadi pelarian bukan atas pilihan sendiri.

“Jika saya berada di tempat mereka, saya mahu orang ramai membantu saya,” katanya.

Carsten berkata, inilah sebabnya dialog perlu diadakan antara masyarakat setempat dan pelarian.

Beliau berkata, majoriti pelarian mahu pulang ke Syria sebaik sahaja keamanan pulih, kerana mereka sudah biasa dengan keadaan cuaca, bahasa dan budaya di sana.

Mengenai peranan kerajaan dalam krisis sedemikian, Carsten berkata, pihak berkuasa perlu melakukan saringan dan pendaftaran untuk pelarian.

Jelasnya, ada yang mendakwa ramai pelarian adalah pengganas, tetapi hakikatnya pengganas akan menggunakan krisis sedemikian sebagai cara untuk memasuki sesebuah negara kerana wujud kelemahan dari segi pendaftaran dan saringan pelarian.

“Jika kerajaan selesaikan isu-isu ini, pengganas tidak berpeluang masuk kerana tidak mahu mengambil risiko dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Tahun lalu, Jerman memberi perlindungan kepada lebih sejuta pelarian Syria yang melarikan diri daripada perang saudara di negara mereka.