Mangsa dera sambut raya dalam persembunyian

beraya

PETALING JAYA: Sebilangan wanita yang mencari perlindungan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) meraikan Aidilfitri dalam persembunyian.

Bercakap kepada FMT, pekerja sosial WAO Yogasri Sivanyanam berkata sesetengah wanita berasa lebih selamat meraikan Hari Raya di rumah perlindungan kerana tidak perlu menghadap pendera mereka.

“Lazimnya mereka tampak gembira kerana mereka mungkin tidak dapat meraikan Hari Raya atau sambutan lain secara aman seperti di rumah perlindungan,” katanya.

Beliau menambah, wanita di rumah perlindungan diberi pilihan kerana mereka tidak dipaksa beraya di situ.

“Ada yang pulang ke kampung untuk sambut raya, tetapi, sama ada keluarga berada jauh atau tidak selamat untuk pulang, mereka pilih untuk tinggal di rumah perlindungan,” katanya.

Beliau menambah, meskipun tidak dapat beraya dengan ahli keluarga dan sanak saudara, mereka yang berada di pusat perlindungan menyambut perayaan seperti sebuah keluarga.

“Senyuman pada wajah wanita dan anak-anak mencerminkan perasaan puas hati dan itu membantu kami untuk terus yakin dengan usaha kami ini.”

Yogasari berkata WAO menyambut Hari Raya dengan rumah terbuka di mana kakitangan dan ahli lembaga turut hadir bersama wanita dan anak-anak yang diberi perlindungan.

Mereka juga ditanya masakan khas apa yang diingini sempena Hari Raya.

“Kita turut beli makanan tempatan seperti lemang, rendang dan banyak lagi. Kadangkala, sukarelawan datang singgah dan beri peruntukan dan makanan sempena perayaan,” katanya.

Menurut pegawai perhubungan WAO, Kelvin Ang, 15 wanita berhari raya di rumah perlindungan tahun ini.

Mereka dibenarkan tinggal di rumah perlindungan tidak lebih daripada tiga bulan.