Polis siasat perniagaan keluarga cari motif ejen hartanah ditembak

tembak_polis_car_600

KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat perniagaan dikendalikan ejen hartanah wanita yang ditembak mati di Taman OUG, Jalan Klang Lama petang semalam.

Perniagaan keluarga mangsa mungkin boleh memberi petunjuk bagi mengenal pasti motif pembunuhan wanita berusia 32 tahun itu.

New Straits Times Online memetik Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Rusdi Mohd Isa sebagai berkata, polis akan menyiasat kes itu daripada semua sudut.

“Siasatan awal kami menunjukkan suami mangsa mengendalikan perniagaan kosmetik. Kami sedang menyiasat jika ada perniagaan lain yang dikaitkan dengan kes ini,” katanya.

Menurutnya, bedah siasat akan dilakukan ke atas mayat mangsa di Pusat Perubatan Universiti Malaya hari ini.

Sementara itu, Rusdi berkata, anak perempuan mangsa berusia 8 tahun yang turut cedera dalam kejadian itu kini dalam keadaan stabil.

“Beliau akan menjalani pembedahan kedua untuk mengeluarkan satu ‘slug’ (peluru) dari jantungnya,” katanya.

Semalam, mangsa ditembak mati dari jarak dekat oleh dua lelaki bermotosikal ketika beliau yang memandu kenderaan Vellfire bersama lima anaknya berusia 2 hingga 13 tahun dan seorang pembantu rumah melalui Jalan Hujan Emas 4, Taman OUG kira-kira jam 2.30 petang Rabu.

Mangsa maut di tempat kejadian selepas satu daripada lima das tembakan itu terkena lehernya.

Anak perempuan mangsa yang berada di tempat duduk hadapan penumpang turut cedera dalam kejadian itu.