Serangan Dhaka: Bangladesh, India siasat Zakir Naik

Hasanul-Haque-Inu-zakir

DHAKA: Bangladesh dan India sedang menyiasat pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik berhubung serangan pengganas di sebuah kafe di Dhaka, Jumaat lalu.

Menteri Penerangan Bangladesh, Hassanul Haq Inu berkata, pakar perundangan sedang mengkaji ceramah serta khutbah Zakir sebelum mengambil tindakan jika ia didapati “menggalakkan” keganasan.

Menurutnya, ia susulan pengakuan dua pengganas IS disyaki, Rohan Imtiaz dan Nibras Islam yang tindakan mereka diinspirasikan ajaran radikal Zakir dan merupakan pengikut “setia” Zakir di Facebook dan Peace Television Channel.

Dua pemuda itu terbabit dalam serangan di Holey Artisan Bakery di Dhaka yang meragut 22 nyawa, Jumaat lalu.

Akhbar Bangladesh, Daily Star melaporkan Rohan yang merupakan anak kepada seorang ahli politik dalam parti pemerintah Liga Awami memuat naik satu propaganda memetik Zakir ke Facebook tahun lalu.

“Selama beberapa bulan, ramai alim, ulama dan maulana membuat laporan kepada kementerian saya yang interpretasi Islam Dr Zakir Naik tidak sama dengan al-Quran dan Hadith. Jadi, kami sedang mengkaji kandungannya sekarang.

“Interpretasi Islam dalam cara yang salah boleh mempengaruhi anak muda dan…menggalakkan keganasan. Itu sebabnya sudut (interpretasi) Zakir akan dikaji,” kata Hassanul kepada Times Now.

The Hindustan Times pula memetik Hassanul sebagai berkata: “Saya turut meminta kerajaan dan Menteri Penerangan India mengkaji konteks ajaran Zakir.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri India, Kiren Rijiju berkata, ceramah Zakir adalah “perkara yang membimbangkan kami.”

Jelasnya, agensi keselamatan India sedang menyiasat dan meneliti ceramah Zakir.

Hassanul berkata, Bangladesh akan meminta India mengambil tindakan, jika khutbah Zakir didapati menggalakkan serangan itu dilancarkan.

Kiren memberitahu bdnews24.com, India akan mempertimbang larangan ke atas aktiviti Zakir “jika kami menerima permintaan Dhaka untuk melarang Zakir”.

Suspek pengganas lain turut menjadikan Zakir sebagai sumber ilham.

Najibulla Zazi yang ditahan pada 2009 kerana bersubahat mengebom kereta api bawah tanah New York, Kafeel Ahmed yang menyerang Lapangan Terbang Glasgow dengan sebuah kereta sarat bahan letupan pada 2007 dan Rahil Sheikh yang ditahan untuk satu siri letupan kereta api di Mumbai pada 2006, mengaku mereka adalah pengikut Zakir.

The Economic Times melaporkan Mohammad Ibrahim Yazdani yang mengetuai perancangan modul IS di Hyderabad memberitahu Agensi Siasatan Negara yang kecenderungan ke arah keganasan untuk mewujudkan undang-undang syariah juga disebabkan Zakir.

Tetapi, Zakir ketika ditemu bual CNN-IBN News 18 menolak laporan mengaitkan beliau dengan pengganas dan menafikan ucapan beliau menggalakkan keganasan. Beliau turut mengalu-alukan pihak berkuasa menyiasatnya.

Zakir mendakwa ada pihak menggunakan gambarnya dan salah petik beliau untuk memfitnahnya.

The Times of India yang melaporkan Zakir mencetuskan kontroversi kerana enggan melabelkan Osama Laden sebagai pengganas dan menjawab soalan mengapa dia dilarang memasuki Britain, berkata ia berpunca daripada tindakannya menggesa semua umat Islam menjadi pengganas.

“Saya beritahu umat Islam yang setiap Muslim perlu menjadi pengganas…Bagi pihak perompak, anggota polis adalah pengganas. Jadi, dalam konteks ini setiap orang Islam harus menjadi pengganas kepada perompak,” kata Zakir dalam sidang akhbar di Mumbai pada 2010.

Zakir dalam ceramahnya yang disiarkan di Peace TV, sebuah saluran Islam antarabangsa turut dilaporkan “menggesa semua umat Islam menjadi pengganas”.