Serangan Movida: Pemilik pusat hiburan tingkatkan keselamatan

movida_bom_600

PETALING JAYA: Pihak pusat hiburan Movida di Puchong meningkatkan tahap keselamatannya selepas disahkan menjadi serangan keganasan pertama yang dilancarkan kumpulan pengganas Negara Islam (IS).

Memetik laporan The Star Online, pemilik Movida, Roger Hew ternyata terkejut dengan pengesahan yang dibuat polis baru-baru ini.

Katanya, berikutan serangan itu cawangan-cawangan pusat hiburannya yang lain diperketat tahap keselamatan selepas mendapat nasihat daripada pihak berkuasa.

Akhbar itu sebelum ini melaporkan lapan individu yang duduk di bahagian luar pusat hiburan Movida cedera selepas terkena letupan bom tangan yang dilempar oleh dua suspek bermotosikal dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2 pagi, 28 Jun lalu.

Ekoran itu, polis menahan 15 individu termasuk dua anggota polis yang disyaki terlibat dalam kegiatan kumpulan pengganas IS.

Ujarnya, kesemua yang ditahan berusia antara 19 hingga 52 tahun dan pecahan tangkapan menunjukkan tujuh dari Kedah diikuti Selangor (empat), Kuala Lumpur (dua) dan masing-masing seorang dari Melaka dan Pulau Pinang.

Sementara itu, salah seorang pemilik pusat hiburan di SS2, Chef Don Daniel Theseira juga akui telah meningkatkan tahap keselamatan di pusatnya dengan mengupah pegawai keselamatan sendiri sebagai langkah berjaga-jaga.

Pemilik pusat hiburan Rosetti Bar di Jalan Lido, Johor Bahru, Fann Peng Nan berkata dia akan lebih berhati-hati dan segera untuk melaporkan kepada polis jika mengesan sebarang keraguan yang berlaku di sekitar kawasan perniagaannya itu.

Satu lagi pemilik pusat hiburan di pusat bandar raya berkata kebanyakan daripada pelanggan-pelanggannya adalah pelancong asing termasuk Singapura.

Justeru, dia berharap serangan Movida tidak akan menakutkan mereka mengunjungi di pusat hiburannya.

Manakala pihak pengurusan Rasa Sayang Resort and Spa and Golden Sands Resort di Pulau Pinang pula telah mengupah bekas askar, Gurkha untuk menjaga premisnya.