Denda sehingga AS$10,000 jika memakai purdah

purdah_Switzerland_600

SWITZERLAND: Undang-undang kontroversi Switzerland yang melarang pemakaian purdah telah dipraktikkan secara sah berkuatkuasa hari Jumaat.

Menurut Independent, undang-undang itu dikuatkuasa di wilayah Ticino di selatan Switzerland selepas undian referendum memperoleh sokongan dua pertiga pengundi.

Seorang mualaf dan seorang ahli perniagaan yang membantah larangan menerusi kempen hak umat Islam bertindak berjalan di sekitar jalan di Locarno memakai pakaian Islam lengkap berpurdah sejurus selepas undang-undang itu dikuatkuasa.

Ahli perniagaan, Nekkaz, bagaimanapun dihalang oleh anggota polis yang membuat rondaan dan mendendanya sehingga AS$233 (RM938) manakala Illi yang memeluk Islam pada usia 19 tahun pula menerima penalti sehingga AS$10,000 (RM40,139).

Pada tahun 2011, Nekkaz menubuhkan dana sejuta Euro untuk membantu wanita di seluruh dunia yang memilih untuk memakai purdah atau burka di mana ia tidak dibenarkan.

Undang-undang mengharam purdah bermula sebagai inisiatif rakyat selepas 65 peratus penduduk Ticino pada tahun 2013 mengundi menentangnya. Kebanyakan penduduk Ticino terdiri daripada Roman Katolik.

Undang-undang itu akhirnya diluluskan oleh kerajaan tempatan pada bulan November, selepas Parlimen di negara itu memutuskan ia tidak bercanggah dengan undang-undang persekutuan Switzerland.

Aktivis, Giorgio Ghiringhelli yang membangkitkan perkara itu berkata undang-undang tersebut adalah mesej kepada ‘fundamentalis Islam’.

“Mereka yang mahu berintegrasi, tanpa mengira agama dialu-alukan, tetapi bagi mereka yang menolak nilai intergrasi dan berhasrat untuk membina sebuah masyarakat selari dengan undang-undang agama di samping meletakkannya ke atas masyarakat kami, anda tidak dialu-alukan,” katanya.