Gelar mereka anti-Negara Islam, kata Zakir Naik

zakir naik

PETALING JAYA: Penceramah kontroversi Zakir Naik dilihat mahu mempromosikan #CallThemAntiIslamicState (gelar mereka anti-Negara Islam) susulan serangan berani mati pengganas IS di Dhaka, Bangladesh baru-baru ini.

Dalam satu video yang dimuatnaik di Facebook miliknya hari ini, Zakir berkata tiada orang boleh mewajarkan pembunuhan orang yang tidak bersalah sebagai ajaran Islam.

“Al-Quran yang suci, Islam dan saya sendiri mengecam semua tindakan terrorisme yang melibatkan nyawa orang-orang yang tidak bersalah,” kata Zakir dalam video yang sudah ditonton lebih 200 ribu orang.

Media melaporkan pengganas IS turut mengikuti media sosial penceramah dari India itu. Zakir mempunyai lebih 14 juta pengikut di Facebook, dan lebih 200 ribu pengikut di Youtube.

Majlis Perundangan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBHST) sebelum ini mengeluarkan kenyataaan mendakwa Zakir meracuni fikiran anak-anak muda dengan idea-idea yang membawa kepada keganasan.

Kenyataan itu disangkal oleh agamawan pelbagai aliran pemikiran yang berkata pendekatan berhujah Zakir tidak didakap pengganas IS.

Video Link