Mualaf bukan status seumur hidup

zakat_islam_600

SEREMBAN: Status mualaf yang diberikan kepada orang yang baru memeluk Islam perlu dihadkan tempohnya demi kebaikan bersama, kata Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Azman Ab Rahman.

Beliau berkata ia antara lain bagi memastikan keadilan dan ketelusan dalam agihan zakat.

Kini hanya beberapa negeri yang menetapkan had tempoh gelaran mualaf iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu dan Sabah.

Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka masing-masing menetapkan had tempoh mualaf selama lima tahun sementara Pahang (tujuh tahun), Terengganu (tiga tahun) dan Sabah (lima hingga tujuh tahun).

Negeri-negeri lain belum melaksanakan had tempoh mualaf.

“Selepas habis tempoh itu, mereka bukan lagi dipanggil mualaf. Mereka orang Islam seperti kita semua dan tidak lagi layak menerima zakat di bawah kategori mualaf.

“Namun jika mereka miskin, maka mereka boleh mohon zakat di bawah kategori asnaf atau fakir miskin.

“Ini perlunya ada had tempoh mualaf kerana jika tiada, mereka akan menerima bantuan zakat sepanjang hidup mereka meskipun ada antara mereka yang bekerja dalam bidang profesional,” kata Azman kepada Bernama.

Beliau berkata yang dikhuatirkan ialah golongan ini sekiranya mereka menetap di negeri yang tidak mengehadkan tempoh status seseorang mualaf, mereka akan terus menerima zakat.

Azman yang juga Felo Penyelidik Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD) berkata pihaknya telah membangunkan model indeks Penentuan Had Tempoh Mualaf yang dihasilkan selepas melakukan kajian ke atas semua Jabatan
Agama Islam Negeri, Pusat Zakat dan persatuan mualaf.

“Model ini adalah sebagai indikator kepada penentuan had tempoh panggilan mualaf yang sesuai mengikut realiti semasa di negara ini.

“Penentuan had tempoh mualaf adalah selama lapan tahun berasaskan tempoh peralihan seseorang individu daripada umur mumayyiz sehingga baligh sebagai perumpamaan yang kita guna pakai dalam menentukan model indeks
ini.

“Penentuan tempoh sehingga lapan tahun akan diukur berdasarkan modul pengajaran dan pembelajaran mualaf yang mana mualaf akan diberikan ujian untuk dinilai dalam soal kefahaman, amalan dan penghayatan Islam dan sekiranya dalam tempoh dua tahun itu dia berjaya melepasi tahap yang ditetapkan, maka dia bukan lagi tergolong dalam kumpulan mualaf,” jelasnya.

Mumayyiz bermaksud seseorang yang mampu untuk membezakan antara yang baik dan buruk manakala baligh bermaksud sudah dewasa.

Modul yang mengandungi lima tahap pembelajaran itu merangkumi mata pelajaran akidah, akhlak, muamalah, munakahat, fiqh ibadat, jinayat dan hadith yang dibangunkan selama dua tahun dengan kos RM80,000 melibatkan lapan penyelidik.

Mengulas lanjut, Azman berkata model indeks itu dibangunkan atas permintaan daripada persatuan mualaf yang mahukan gelaran itu tidak digunakan kepada mereka yang seolah-olah menunjukkan mereka merupakan kumpulan lain dalam
Islam.

“Gelaran mualaf adalah untuk mereka yang baharu masuk Islam dan bukannya kepada mereka yang sudah 10 hingga 20 tahun masuk Islam. Persatuan mualaf mahu satu tempoh yang sesuai supaya mereka tidak dipanggil mualaf sepanjang hayat
mereka,” katanya.

Beliau berkata isu mengehadkan tempoh mualaf telah dibincangkan di peringkat kebangsaan, namun Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tidak mengenakan tempoh yang tetap sebaliknya mengikut kebiasaan setempat.

“Maka kita nak cadangkan kepada Jabatan Mufti Negeri supaya perkara ini diselaraskan. Andai kata urufnya lapan tahun, maka semua negeri termasuk Sabah dan Sarawak pun lapan tahun,” katanya.

Sebagi rekod Model Indeks Penentuan Had Tempoh Mualaf yang dibangunkan USIM meraih pingat emas dalam Pameran Rekacipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa 2016 (ITEX) di Kuala Lumpur pada Mei lepas.

Bernama