IDEAS tak terkejut LGE beri amaran kepada Penang Institute

Wan-Saiful-Wan-Jan_penang_lim-guan-eng_600

PETALING JAYA: Amaran Ketua Menteri kepada Penang Institute supaya jangan mencemar imej kerajaan negeri bukan sesuatu yang mengejutkan, kata ketua pegawai eksekutif sebuah badan pemikir bebas.

“Saya tak terkejut. Walaupun salah, itu amalan biasa di badan yang berada dibawah kerajaan. Kerajaan negeri yang membiaya badan atau universiti punyai jangkaan tersendiri,” kata Wan Saiful Wan Jan daripada IDEAS.

“Sebab itu kami – IDEAS – bergerak secara bebas,” tambahnya.

Susulan amaran itu, anggota Penang Institute kini bertanggungjawab untuk memastikan integriti kerja mereka terpelihara.

“Saya tahu mereka akan perhatikan hasil yang mereka dedah atau tidak dedahkan kepada orang awam. Jadi, saya harap mereka kekalkan integriti kerja yang dihasilkan,” kata Wan Saiful.

Guan Eng dalam ucaptama perasmian bangunan baharu Penang Institute di Jalan Brown, George Town, mengingatkan anggota Penang Institute yang mereka bekerja untuk sebuah badan yang dibiaya kerajaan negeri.

“Jangan lupa kamu sebahagian daripada kerajaan Pulau Pinang, dan tindak-tanduk kamu tidak boleh dilihat mencemar atau menjejaskan imej kerajaan negeri,” kata Guan Eng.

“Oleh kerana kami membiayai kamu, kami berharap kamu menjadi berguna kepada kerajaan negeri, dan melengkapi imejnya dan tentu sekali tidak mendedahkan imej kerajaan Pulau Pinang kepada bahaya.”