Pengganas minat FB Zakir Naik tidak bererti dia penghasut

Wan Ji Wan Hussin

PETALING JAYA: Jangan melulu menghukum Zakir Naik diatas tindakan segelintir pengikut Facebooknya, kata pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin.

Melihat kepada perbezaan pendekatan yang ketara antara Zakir dan IS, Ketua Biro Agama Angkatan Muda Keadilan PKR itu berpandangan tiada hubungkait yang kuat untuk mengaitkan penceramah kontroversi itu kepada tindakan simpatisan atau penyokong kumpulan pengganas.

“Tidak boleh anggap Zakir pro-pengganas semata-mata kerana seorang pengganas ikut Facebooknya,” kata Wan Ji. “Saya kagum dengan beberapa pandangan Presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) dalam hal politik tidak bermakna saya ahli PAS.”

Halaman Facebook penceramah daripada India ini mempunyai lebih daripada 14 juta pengikut, manakala halaman Youtube pula mempunyai 263,716 pengikut.

“IS adalah gerakan yang tidak mementingkan hujah dalam menghadapi perbezaan fahaman, bahkan cenderung menuduh musuh Islam, anti-Islam dan kafir harbi.

“Ini berbeza dengan pendekatan Zakir yang cenderung kepada berhujah dan tidak suka menuduh mereka yang berbeza pendapat sebagai musuh Islam, anti-Islam dan harbi,” jelas Wan Ji, menonjolkan perbezaan utama antara Zakir yang sering dianggap ekstrem dengan fahaman melampau IS.

Nada yang sama turut disuarakan Naib Presiden Amanah yang berpandangan penuduh perlu mengambil langkah ke hadapan mengesahkan dakwaan mereka.

“Perlu ada siasatan mendalam apakah yang berlaku di Dhaka itu benar-benar menunjukkan bahawa keseluruhan (keganasan) itu didorong oleh Zakir atau orang yang terlibat itu hanya mengikuti perkembangan Zakir sahaja,” ujar Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Dalam hal ini, PAS turut menyatakan pendirian yang sama. Asasnya, kata Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, tindakan IS bukan sahaja bertentangan dengan bawaan Zakir, bahkan bercanggah dengan perundangan jihad dalam Islam.

“Ia sangat jelas bagi mereka yang mengikuti ceramah-ceramah beliau di Youtube. Bagaimana mungkin untuk dikaitkan Zakir dengan keganasan sedangkan beliau tidak menyeru ke arah itu?” soal Datuk Khairuddin at-Takiri ketika dihubungi FMT.

Mereka bertiga berkata demikian mengulas laporan The Daily yang melaporkan dua pengganas yang terbabit dalam pembunuhan 20 tebusan di Dhaka, Bangladesh sebagai pengikut media sosial Zakir.

Majlis Perundangan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBHST) kemudiannya mengeluarkan kenyataaan mendakwa Zakir meracuni fikiran anak-anak muda dengan idea-idea yang membawa kepada keganasan.

Menyentuh isu laporan media, Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainal Abidin dalam catatan Facebooknya hari ini meluahkan rasa kesal terhadap sebuah portal berita berhubung perkara ini.

“Ada perkara yang saya secara peribadi setuju dan juga tidak setuju dengan pendekatan Zakir Naik, namun untuk mengaitkan beliau sebagai pendakwah yang mengalakkan keganasan sangat tidak benar.

“Saya mendengar banyak ceramah beliau, saya tidak dapati hal seperti itu,” kata Asri, yang juga felo Pusat Pengajian Islam Oxford 2011-2012.

Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) pula khuatir pihak tertentu sengaja mahu mengaitkan Zakir kepada pengganas serangan di Dhaka.

“Zakir seorang pendakwah yang menggunakan pendekatan hujah untuk berdakwah, bukan menggunakan cara memaksa kepercayaan dengan senjata.

“Saya khuatir ada pihak yang anti-Islam mengambil kesempatan kes pengeboman di Dhaka untuk membunuh ketokohan dan pengaruh Zakir Naik dalam dakwah,” kata Presidennya, Abdullah Zaik Abd Rahman.