Salah lapor kerana tak faham bahasa, kata LGE

lim-guan-eng_penang_institute_1600

GEORGE TOWN: Ucapan “jangan khianati orang yang menolong” kepada satu badan pemikir negeri dilaporkan diluar konteks, kata Lim Guan Eng, susulan celaan yang diterimanya berhubung nada ucapan yang dilihat seperti suatu ancaman.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata beliau tidak berniat untuk mengancam anggota Penang Institute, cuma mahu mengingatkan bahawa Pulau Pinang “satu-satunya negeri yang mempunyai kebebasan bersuara dan kebebasan selepas bersuara” di negara ini.

Guan Eng menjelaskan beliau sekadar mengingatkan badan pemikir itu yang mereka dibenarkan untuk berbeza pendapat secara terbuka, cuma kerajaan selaku penyumbang dana mahukan kesetiaan sebagai balasan.

“Dalam erti kata lain, mereka tidak boleh dalam diam-diam atau secara curi-curi bekerja dengan golongan yang menentang secara terbuka dan mahu menjatuhkan kerajaan negeri.

“Saya membandingkan pendirian liberal kerajaan Pulau Pinang dengan Kerajaan Persekutuan yang akan bertindak terhadap mereka yang berani berbeza pendapat secara terbuka,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau kemudiannya membidas agensi berita Bernama sebagai oportunis, yang dirasakannya mempunyai niat tersembunyi apabila melapor ucapan itu 10 hari kemudian.

Guan Eng berkata laporan itu mungkin diterbitkan bagi mengalihkan perhatian daripada “isu-isu yang lebih mendesak” seperti skandal wang derma dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan.

“Saya kesal ucapan ini beri peluang kepada golongan seperti Bernama yang mahu membesar-besarkan cerita atau mencipta kontroversi dengan menonjolkan satu bahagian kecil dari sesuatu yang biasa,” katanya.

Semalam, Bernama melaporkan Guan Eng memberi amaran kepada anggota badan pemikir itu, mengingatkan yang mereka bekerja untuk badan yang dibiayai kerajaan negeri.

Agensi berita itu berkata perumpamaan Barat ‘jangan gigit tangan yang memberi makan’ dan perkataan seperti ‘menyalak’ dilihat sebagai kata-kata yang tidak hormati terhadap para penyelidik Penang Institute oleh sesetengah pihak, kerana lazimnya dikaitkan pada anjing.

“Tetapi Guan Eng menjelaskan, penggunaan frasa itu bukan bertujuan untuk merendahkan mereka,” lapor Bernama, tanpa menamakan mana-mana penyelidik.

Sementara itu, Guan Eng mengambil keputusan enarik balik perumpamaan dan istilah yang dikaitkan pada anjing itu, yang dirasakan punca masalah berbangkit.

Beliau berharap ini akan mematikan sebarang kontroversi.

“Saya sedar konteks Barat iaitu anjing kawan baik manusia tidak digunapakai dalam konteks budaya Malaysia, terutamanya apabila anjing dipandang secara negatif oleh separuh daripada rakyatnya.

“Ini juga mempunyai implikasi budaya dan agama.

“Dalam konteks itu, perkataan seperti “watchdog” yang bermaksud memantau walaupun positif di Barat tetapi kini boleh diertikan menjadi negatif disini oleh mereka yang mempunyai kefahaman bahasa Inggeris yang terhad,” katanya.

“Saya akan gantikannya dengan jangan khianati kerajaan negeri tetapi beri ruang kepada anggotanya hak untuk berbeza pendapat dan menyatakan perbezaan itu secara terbuka,” katanya.