Selamatkah lapangan terbang di Malaysia?

Dr-P-Sundramoorthy

PETALING JAYA: Setiap kali menjelang musim perayaan, lapangan terbang antarabangsa lokasi dipenuhi orang ramai khasnya pelancong asing.

Bagaimanapun, dengan amaran yang dikeluarkan kumpulan pengganas seperti IS, sejauh manakah lapangan terbang antarabangsa di negara ini selamat?

Pakar kaji jenayah, Prof Madya Dr P Sundramoorthy berkata, walaupun tahap keselamatan di lapangan terbang Malaysia adalah “baik”, masih banyak yang perlu dilakukan jika dibandingkan dengan piawaian antarabangsa.

“Ini kerana kumpulan pengganas selalunya menyasarkan angka korban dan cedera yang maksimum serta kesan dan kerosakan terbesar.

“Lokasi terbaik untuk mencapai sasaran itu tak lain tak bukan ialah lapangan terbang antarabangsa.

“Ia adalah satu daripada sasaran utama kumpulan pengganas disebabkan pengunjung yang ramai dan berbeza-beza.

“Bukan sahaja ada orang tempatan di sana, tetapi pengunjung antarabangsa juga,” kata pensyarah kriminologi di Universiti Sains Malaysia (USM) itu kepada FMT.

Beliau memberi contoh Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing di mana pihak berkuasa melakukan pemeriksaan rawak ke atas pengunjung di pintu masuk, selain langkah keselamatan ketat lain yang sedang dilaksanakan.

Sehubungan itu, beliau menggesa Malaysia melaksanakan sistem lebih baik untuk memastikan keselamatan lapangan terbang dalam negara ini terjamin.

“Langkah keselamatan kita tidak sepatutnya dilaksanakan terhadap penumpang sahaja. Ia juga perlu termasuk pekerja kolar biru di lapangan terbang, termasuk pekerja asing yang kerap ditugaskan menjaga kebersihan dan buruh.

“Berbanding 1980-an di mana Malaysia sentiasa melaksanakan langkah ketat, tahap keselamatan sejak beberapa tahun lalu bagaimanapun tidak dipertingkatkan untuk mencapai piawaian yang diterima pakar-pakar keselamatan,” katanya.

Tahap keselamatan lapangan terbang mendapat perhatian susulan beberapa siri serangan pengganas di seluruh dunia.

Mac lalu, serangan serentak ke atas stesen kereta api Maelbeek dan Lapangan Terbang Brussels di Belgium meragut 32 nyawa dengan IS mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan itu.

Selasa lalu, tiga lelaki membunuh 44 mangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Ataturk di Turki menerusi serangan bom dan tembakan.