IDEAS: Mustafar Ali paling sesuai pimpini SPRM

Wan-Saiful-Wan_mustafar-ali_sprm_600

PETALING JAYA: Bagi mengekalkan kepercayaan masyarakat terhadap SPRM dan kesinambungan transformasi yang dibentuk, adalah penting untuk memilih peneraju daripada badan itu sendiri.

Demikian kata Ketua Eksekutif IDEAS Wan Saiful Wan Jan yang berharap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim diganti oleh seorang yang datang daripada keluarga SPRM itu sendiri.

“Oleh kerana orang nombor satu dan nombor dua SPRM akan bersara, maka calon dalaman yang paling sesuai ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Seri Mustafar Ali yang merupakan pegawai ketiga tertinggi sekarang,” katanya.

Tambahnya, hanya dengan mengekalkan orang dari SPRM itu sendiri, ia dapat mengekalkan transformasi yang telah diusahakan oleh kepimpinan Abu Kassim.

Abu Kassim telah mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ketua SPRM ‘mengikut kehendak sendiri’ pada 1 Ogos dan timbalannya, Mohd Shukri Abdull pula akan meletak jawatan pada 3 Oktober apabila mencapai umur persaraan wajib.

“Terdapat beberapa kes berprofil tinggi yang telah dibawa ke mahkamah dan SPRM juga telah menjalin hubungan baik dengan pelbagai badan bukan kerajaan.

“Jika mana-mana pegawai tinggi SPRM sekarang mengambil alih sekalipun, peluang berlakunya kesinambungan transformasi SPRM pasti lebih tinggi berbanding jika orang luar dipayung terjunkan ke dalam organisasi tersebut,”katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Wan Saiful juga bimbang pelantikan orang luar ke dalam badan itu boleh membantutkan kelancaran badan itu kerana perbezaan budaya kerja dan sebagainya.

“Sekarang ini heboh dikatakan bahawa Dato Dzulkifli Ahmad daripada Jabatan Peguam Negara atau Tan Sri Noor Rashid Ibrahim daripada PDRM.

“Kedua-dua mereka memang berpengalaman tetapi dengan suasana politik sekarang, perlantikan orang luar hanya akan menjejaskan reputasi SPRM itu sendiri,” ujarnya.

Seorang menteri kabinet dari Jabatan Perdana Menteri, Paul Low turut menggesa ketua pesuruhjaya baru itu dilantik dari kalangan SPRM itu sendiri.

Low, yang bertanggungjawab dalam portfolio integriti berkata, pengganti Abu Kassim haruslah seseorang yang berpengalaman dalam memerangi rasuah dan ideal, seseorang yang pernah bekerja bersama Abu Kassim.