Nga disiasat polis, muatnaik posting berunsur hasutan

Nga Kor Ming

PETALING JAYA: Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan ahli Parlimen DAP, Nga Kor Ming kini sedang disiasat polis berhubung satu muatnaik di Facebook baru-baru ini yang didakwa menghina Aidilfitri.

“Kami menerima beberapa laporan berhubung muatnaik Facebook Nga dan telah memulakan siasatan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan,” katanya kepada pemberita di rumah terbuka Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Beberapa laporan polis dibuat terhadap Ahli Parlimen Taiping itu selepas dia memuat naik posting di Facebook pada 6 Julai, pukul 5.15 petang bertajuk “Hanya di Malaysia di bawah Umno, Selamat Hari Raya”, satu karikatur menunjukkan dua budak sedang meminta derma daripada seorang individu.
Dalam perbualan dialog yang ditulis dalam karikatur itu, seorang budak telah bercakap “Tahun ni kami tak mintak duit raya… kami mintak derma…” manakala seorang lagi menjawab “Tak dapat derma, dedak pun ok…” dan karikatur itu diakhiri dengan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin”

Khalid menyelar posting Nga dengan berkata ia memperkecilkan agama Islam dan mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat kenyataan mengenai isu-isu sensitif.

“Ini tidak sepatutnya dilakukan oleh seseorang yang YB. Kita sebuah negara majmuk dan saya menggesa semua orang supaya berhati-hati dalam apa jua kenyataan yang mereka buat,” katanya.

Sebelum ini, pada 5 Julai Nga turut berkongsi imej Aidilfitri dengan perkataan “In God We Trust”, lakaran tangan berdoa, gambar rumah api dengan bendera Amerika di latar belakang serta kata-kata, “Tuhan, pandu nagara kami semula kepada Mu.”

Gambar itu bagaimanapun telah dipadam.

Seksyen 298 kanun keseksaan menjelaskan mana-mana muatnaik kenyataan berunsur hasutan yang berpotensi menyebabkan ketidakharmonian agama boleh diambil tindakan.