Permintaan tinggi, syarikat berkejaran latih pengawal peribadi bersenjata

mustapa

PETALING JAYA: Syarikat-syarikat kawalan keselamatan dilaporkan melatih lebih ramai pengawal terlatih bagi memenuhi permintaan untuk khidmat perlindungan peribadi.

The Star melaporkan Presiden Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia Datuk Seri Mustapa Ali berkata jumlah bekas anggota polis dan anggota pasukan khas tidak mencukupi bagi memenuhi permintaan untuk pengawal peribadi bersenjata.

Maka, orang awam akan diambil untuk dilatih seusai cuti Hari Raya untuk menyertai program pengawal keselamatan bertauliah.

“Beberapa mesyuarat dengan polis dan Kementerian Dalam Negeri sudah diadakan membincangkan perkara melatih orang awam sebagai pengawal peribadi bersenjata,” katanya.

Permintaan dikatakan bertambah susulan siri pembunuhan mutakhir ini.

Sementara itu, pengarah di sebuah syarikat keselamatan, Niko Khoo berkata syarikat bertungkus lumus memenuhi permintaan untuk pengawal peribadi bersenjata, serta pengawal peribadi yang boleh berfungsi sebagai pembantu peribadi.

“Ada klien yang mahukan bukan sekadar anggota keselamatan semata-mata tetapi juga boleh melakukan tugasan korporat seperti menguruskan aturcara majikan, rancangan penerbangan, penginapan dan mengambil nota mesyuarat,” katanya.

Malah ada syarikat yang menghantar pembantu peribadi para eksekutif untuk latihan kawalan keselamatan.

Berita jenayah ganas menerjah ke muka depan, termasuk serangan IS keatas sebuah kelab malam, dan beberapa kes tembakan oleh pembunuh upahan.

Kes terbaru seorang ejen hartanah dibunuh di Taman OUG, Kuala Lumpur selepas ditembak pada jarak dekat ketika sedang menaiki kenderaan. Anak perempuan mangsa yang berusia lapan tahun tercedera dan sedang dirawat.