Salleh: Siasatan PAC laporan muktamad 1MDB

Salleh Said Keruak

PETALING JAYA: Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) merupakan laporan muktamad siasatan keatas 1Malaysia Development Bhd, bukan laporan Ketua Audit Negara.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Salleh Said Keruak dalam catatan blognya berkata pendengaran keatas syarikat milik kerajaan itu dijalankan PAC.

Laporan Ketua Audit Negara itu satu daripada pelbagai sumber yang digunakan PAC dalam menyediakan laporan berkenaan 1MDB, katanya menjawab Sarawak Report yang mendakwa memiliki salinan laporan Ketua Audit Negara yang menurut portal itu mengandungi kebenaran mengenai 1MDB.

“Siasatan PAC bukan sepenuhnya berdasarkan satu sumber tetapi banyak sumber. Kita boleh anggap Sarawak Report tersalah faham atau tidak menyedari hakikat ini,” kata Salleh.

Bagaimanapun, jika Sarawak Report sedari fakta itu, maka portal itu bersalah kerana mengelirukan orang ramai.

“Tetapi begitulah modus operandi Sarawak Report sejak 2010”.

Beliau menjelaskan terdapat banyak laporan dibentangkan dalam mesyuarat PAC dan dibincangkan secara panjang lebar oleh semua anggota PAC, termasuk daripada pembangkang. Mereka juga sedar ada banyak laporan lain.

“Laporan muktamad berkenaan 1MDB adalah laporan PAC. Laporan itu disediakan daripada laporan-laporan lain, siasatan-siasatan dan wawancara-wawancara yang dilakukan,” kata Salleh. Laporan Ketua Audit Negara hanya menjawab satu aspek hal 1MDB.

Beliau berkata makalah laporan Ketua Audit Negara oleh Sarawak Report menggugat integriti anggota PAC, termasuk daripada pembangkang, kerana dilihat seolah cuba menyembunyikan sesuatu.

Laporan PAC diterbitkan April. Ahli Parlimen DAP Tony Pua berkata dirinya hanya 80% berpuas hati dengan laporan setebal 106 muka surat itu, dan mendakwa ada ayat-ayat penting tidak dimasukkan dalam laporan itu.

Polis berkata akan menyiasat kesahihan petikan laporan Sarawak Report itu.