Tindakan Kor Ming biadap, cari publisiti murahan- Ismail Sabri

ismail

BERA: Tindakan Anggota Parlimen Taiping, Perak, Nga Kor Ming memuat naik status dalam akaun Facebook (FB) miliknya menghina sambutan Hari Raya Aidilfitri disifatkan sebagai tindakan biadab dan sengaja mencari publisiti murahan.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perbuatan itu juga menyinggung perasaan umat Islam dan tidak menghormati amalan tradisi yang telah diamalkan masyarakat Melayu sejak turun temurun.

“Ini merupakan perbuatan biadab dan kurang ajar. Ia tidak patut berlaku kerana pemberian duit raya ini bukan satu perkara baru, tetapi untuk mengembirakan kanak-kanak.

Sebab itu ia diberi kepada golongan itu dan bukannya kepada orang dewasa dan perkara ini juga diamalkan masyarakat Cina yang memberi ang pau semasa Tahun Baru Cina,” katanya.

“Budaya ini sama saja baik kaum Melayu, dan Cina, malah kaum India sendiri pun semasa Depavali kita beri bantuan kepada golongan memerlukan untuk meringankan bebanan mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di majlis rumah terbuka Aidilfitri 2016 Parlimen Bera di sini hari ini.

Majlis yang diadakan bermula pukul 9 pagi dan berakhir 2 petang itu dihadiri hampir 20,000 orang yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Sehubungan itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menuntut Kor Ming agar segera meminta maaf kerana tindakannya yang tidak bertanggungjawab mempersendakan Aidilfitri dengan menyamakan sedekah duit
raya sebagai rasuah dan ‘dedak’.