PETALING JAYA: Kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak digesa mendedahkan laporan sebenar 1MDB oleh Ketua Audit Negara bagi menghentikan isu itu daripada terus diputar belit Sarawak Report.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata demikian supaya ia menghalang portal Sarawak Report daripada terus memperdaya rakyat dengan laporan yang kurang tepat melibatkan anak syarikat kerajaan penuh kontroversi itu.
“PAS mendesak laporan Ketua Audit Negara terhadap 1MDB yang tulen didedahkan segera, memandangkan sekatan akses terhadap Sarawak Report ternyata gagal membendung portal ini daripada memperdaya rakyat Malaysia.
“Menggunakan laporan audit yang tulen, kerajaan melalui media-medianya boleh menunjukkan kesilapan laporan Sarawak Report dan bagaimana rakyat sedang diperdaya, seperti yang dituduh oleh Dr Salleh,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
PAS juga bersetuju dengan pendirian Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak yang meminta rakyat tidak terpengaruh dengan laporan Sarawak Report mengenai 1MDB kerana laporan lengkap mengenai agensi pelaburan milik kerajaan itu adalah seperti disiapkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Kata Salleh, laporan PAC adalah laporan muktamad siasatan ke atas 1MDB, bukannya Ketua Audit Negara, malah pendengaran ke atas syarikat milik kerajaan itu dijalankan PAC.
Laporan Ketua Audit Negara adalah satu daripada pelbagai sumber yang digunakan PAC untuk menyediakan laporan 1MDB, katanya menjawab dakwaan Sarawak Report yang kononnya memiliki salinan laporan yang mengandungi kebenaran mengenai 1MDB.
Tambah Tuan Ibrahim, kerajaan BN khususnya Najib perlu mengambil langkah proaktif dan berani berdepan isu terbabit memandangkan parti pemerintah itu telah kembali mendapat keyakinan rakyat setelah menang besar dalam dua PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar sekaligus memberi keyakinan kepada Perdana Menteri dan BN berdepan isu sakndal 1MDB.
“Ini hanyalah satu laporan audit, seperti kata Dr Salleh, ia cuma satu komponen kecil untuk PAC menyediakan laporannya terhadap 1MDB. Bukan itu sahaja, semua pengkritik 1MDB dalaman seperti Tun Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal bukan lagi ahli Umno… Jadi apa yang perlu dirisaukan?” soalnya.