Bangladesh haramkan saluran TV Zakir Naik

zakir-naik-peace-tv

PETALING JAYA: Kerajaan Bangladesh semalam mengharamkan saluran televisyen Peace TV yang dikendalikan Zakir Naik, susulan laporan ucapan “provokatif” pendakwah India itu memberikan inspirasi kepada beberapa anggota militan IS melancarkan serangan pengganas di sebuah restoran di Dhaka baru-baru ini.

Times of India melaporkan keputusan pengharaman Peace TV Bangla itu dibuat selepas mesyuarat khas jawatankuasa kabinet undang-undang dipengerusikan Menteri Industri, AAmir Hossain Amu.

Ia turut dihadiri beberapa menteri dan pegawai kanan keselamatan.

Mesyuarat turut membuat keputusan memantau kandungan khutbah Jumaat bagi memastikan tiada ucapan provokasi dibuat, kata Amu.

Ucapan Zakir menjadi tumpuan selepas didakwa menggalakkan militan IS yang menyerang sebuah kafe di Dhaka pada 1 Julai, menyebabkan 22 orang, kebanyakannya warga asing, terbunuh.

Zakir menafikan sekeras-kerasnya dakwaan terhadap beliau, dan memuat naik video mengutuk keganasan militan IS.

Katanya, tidak ada sesiapa pun yang boleh mewajarkan pembunuhan orang tidak bersalah sebagai ajaran Islam.

“Al-Quran yang suci, Islam dan saya sendiri mengecam semua tindakan terrorisme yang melibatkan nyawa orang-orang yang tidak bersalah,” kata Zakir.

Sebelum ini, dilaporkan pengganas IS yang terlibat serang Dhaka turut mengikuti media sosial Zakir.

Zakir mempunyai lebih 14 juta pengikut di Facebook, dan lebih 200 ribu pengikut di Youtube.