Pengawal penjara Jakarta cuai, banduan ‘berhijab’ larikan diri

jail_open_600

JAKARTA: Kegagalan pengawal penjara memantau dan mengawasi tetamu yang hadir melawat banduan di penjara Salemba Penitentiary menyebabkan seorang banduan yang disabit atas kesalahan merogol dan membunuh melarikan diri.

Kecuaian pengawal itu membolehkan banduan, Rizal aka Anwar, 26, melarikan diri dengan menyarungkan pakaian wanita termasuk berhijab pada hari kedua sambutan Hari Raya Aidilfitri ketika penjara itu dilawati tetamu.

Ketua Pengarah Kementerian Undang-undang dan Hak Asasi Manusia untuk pusat pemulihan, I Wayan Kusmiantha Dusak berkata, para pengawal yang ditugaskan pada hari berkenaan telahpun diingatkan untuk mengedar gelang tangan khas kepada tetamu berhijab namun ia gagal dilaksana.

“Pegawai kami menganggap dia adalah wanita. Kami akan meneliti kejadian ini secara lebih lanjut,” kata Wayan kepada Jakarta Post pada Isnin, sambil menambah bahawa polis sedang memburu Rizal.

Sementara itu, menurut kompas.com, menterinya, Yasonna Laoly pula menuding jari kepada lebihan kapasiti banduan dalam penjara terbabit sebagai punca berlakunya kejadian seumpama itu.

Hanya 20 pengawal yang bertugas mengawal kira-kira 3,000 pengunjung di penjara itu semasa hari lawatan untuk Aidilfitri yang lalu.

Rizal menjalani hukuman kerana merogol dan membunuh anak saudaranya yang berusia 12 tahun di Jasinga, Bogor, Jawa Barat pada 23 Oktober 2015.

Isterinya, Ade Irma, melawat Rizal pada hari Khamis, membawa dia pakaian Muslimah dan hijab, yang mana dipercayai digunakan untuk melarikan diri penjara tersebut.