Ibrahim Ali akan sertai parti politik semula

ibrahim ali

KUALA LUMPUR: Datuk Ibrahim Ali mendedahkan akan menyertai parti politik semula menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Presiden Perkasa itu bagaimanapun tidak mendedahkan parti mana yang akan disertainya.

“Saya sekarang ini tidak berparti selepas saya gugur sebagai ahli Umno. Sebagai orang politik saya amat memerlukan parti.

“Boleh jadi selepas Dewan Rakyat dibubarkan barulah saya isytihar sertai parti politik ataupun sampai hari penamaan calon barulah saya akan (umum) wakili parti mana,” katanya di Ibu Pejabat Perkasa hari ini.

Ibrahim turut mengakui didekati beberapa pemimpin parti politik yang turut menawarkan jawatan kepada beliau.

Bagaimanapun, beliau belum membuat sebarang keputusan memandangkan senario politik negara yang belum stabil.

“Apabila tidak menyertai parti politik saya boleh kembangkan Perkasa dan andaian saya tepat. Kini selepas lapan tahun, Perkasa sudah mantap, kuat dan mempunyai rangkaian di seluruh negara, mempunyai ahli ratusan ribu,” jelasnya.

Ibrahim juga yakin Perkasa tidak akan tumbang jika beliau menyertai parti politik kerana beberapa pelapis dilatih untuk menggantikannya.

“Bila saya masuk parti politik, saya masuk demi agama, bangsa dan negara. Cumanya, nama dan dasar memang nampak sedap, tetapi akhirnya kepimpinan seorang pemimpin itu yang penting,” jelasnya.

Ibrahim pernah menyertai Umno dan memenangi kerusi Parlimen Pasir Mas di Kelantan atas tiket Barisan Nasional.

Pada 1987, beliau dilantik menjadi Exco Pemuda Umno sebelum dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada era pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau kemudiannya menyertai Semangat 46 apabila Tengku Razaleigh Hamzah menubuhkan parti itu dan bergabung dengan PAS.

Sekembalinya kepada Umno bersama Tengku Razaleigh selepas Semangat 46 dibubarkan, beliau dipecat dan dilucutkan jawatan Ketua Umno Bahagian Pasir Mas pada 22 November 2003 serta keahliannya digantung seumur hidup.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Ibrahim memenangi kerusi Pasir Mas atas tiket PAS, namun beliau kembali menjadi calon bebas dan tewas kepada Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz pada 2013.