Parti baharu Dr M akan alami nasib Semangat 46?

MahathirPETALING JAYA: Kemungkinan parti baharu akan ditubuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa bekas pemimpin Umno boleh memberi kesan kepada Barisan Nasional (BN), tetapi ia mungkin juga mengulangi sejarah Semangat 46 yang akhirnya terkubur.

Penganalisis politik Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata sebarang kegagalan kepimpinan parti itu mungkin menyebabkan ia ditimpa nasib sama dialami Parti Melayu Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah, yang pernah menggegarkan politik negara pada 1988.

“Saya jangka ia akan bekerjsama dengan blok pembangkang sebagaimana yang pernah Semangat 46 lakukan melalui Angkatan Perpaduan Ummah dan akan memberikan kesan kepada Umno pada satu atau dua pilihan raya akan datang,” katanya kepada FMT.

Razaleigh menubuhkan Semangat 46 pada 1988, selepas perpecahan dalaman Umno susulan pertandingan jawatan presiden yang dimenang tipis Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu.

Semangat 46 yang turut disokong Datuk Seri Rais Yatim dan Datuk Ibrahim Ali, sebahagian daripada “Team B” Umno pimpinan Razaleigh, kemudiannya menjalinkan kerjasama dengan PAS dan beberapa parti kecil lain, sehingga membawa kepada kejayaan PAS menjatuhkan pemerintahan Umno di Kelantan pada pilihan raya umum 1990.

Parti itu bagaimanapun dibubarkan pada 1996 selepas Razaleigh menyertai semula Umno.

Sebelum ini, bekas naib ketua Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, membayangkan parti baharu ditubuhkan diterajui Dr Mahathir yang akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan untuk menjatuhkan BN.

Awnag berkata kelangsungan parti baharu itu bergantung kepada kepimpinan Dr Mahathir dan bekas pemimpin Umno lain seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya lihat perkembangan ini seolah-olah sejarah berulang kembali apabila parti Semangat 46 ditubuhkan oleh Ku Li dan Rais Yatim pada 1988. Ia merupakan serpihan perpecahan dalaman Umno.

“Kepimpinan kuat Ku Li dan Rais Yatim ketika itu sama seperti dialami Dr Mahathir dan Muhyiddin sekarang,” katanya kepada FMT.

Pensyarah di Jabatan Sosiobudaya Universiti Malaya berkata BN boleh mendapat kesan daripada parti baharu sekiranya Dr Mahathir berjaya memastikan pembangkang tidak bertembung sesama sendiri pada PRU akan datang.

“Kesemua ini bergantung kepada peranan Tun M, Lim Kit Siang dan Wan Azizah dalam rundingan nanti dan dijangka juga PAS akan bekerjasama dengan Umno pada PRU akan datang,” katanya merujuk pemimpin tertinggi DAP dan PKR.