Peniaga mahu mansuh akta tentang pencatuan sahaja

pasarPETALING JAYA: Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) berpendapat Akta Pencatuan 2011 sebagai tidak lagi relevan selain menyusahkan peniaga khususnya peniaga kecil.

Jurucakap ACCCIM, Koong Lin Loong juga berkata ia menyokong kawalan harga  dan mencadangkan undang-undang mengenainya diperkasa.

“Dalam keadaan pasaran bebas, pelaksanaan Anti Pencatuan 2011 ini akan menakutkan peniaga kecil, manakala pelabur asing pula tidak berani masuk melabur di Malaysia.

“Pemansuhan Anti Pencatuan 2011 ini akan memberi keyakinan kepada peniaga luar negara masuk dalam Malaysia,” katanya.

Sebaliknya Akta Kawalan Harga pula perlu, cuma kerajaan harus memperkasa akta itu bagi memberi perlindungan kepada kedua-dua pihak.

“Kita cadangkan kerajaan jangan mansuhkan Akta Kawalan Harga tetapi mewujudkan satu akta untuk menangkap peniaga yang menaikkan harga barangan sesuka hati sehingga membebankan golongan miskin atau yang berpendapatan rendah,” katanya.

Malah, akta kawalan harga dikatakan sudah cukup baik berdasarkan pelaksanaan tahun-tahun sebelum ini.

“Kawalan harga ayam dan telur pada musim raya juga baik dan tidak nampak apa keperluan untuk mansuhkan akta ini,” katanya kepada FMT.

Lin Loong berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Hamzah Zainuddin tentang pertimbangkan kerajaan memansuh Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatuan 2011 selepas mengambil kira rungutan peniaga.

Kata Hamzah, kajian kementerian melibatkan mereka yang berkepentingan termasuk dewan perniagaan, persatuan pengguna, pihak industri dan pengguna sebelum memutuskan akta itu dimansuhkan atau sebaliknya, menjelang akhir tahun ini.

Naib Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Hanafi Yusof pula menggesa kerajaan supaya mewujudkan keseimbangan dalam mengawal harga kepada peniaga.

DPMM tidak menyatakan sebarang pendirian mereka, namun berharap kerajaan meneliti usaha menentukan harga supaya pelaksanaannya memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak.

“Ia bukan soal setuju atau tidak akta ini dimansuhkan, tetapi cara mengawal harga. Jangan kawal sampai merugikan peniaga kerana kami juga mahu untung. Kalau merugikan, tentu tidak dapat mengembangkan perniagaan dan syarikat mereka,” katanya.

Bagaimanapun beliau akui jika akta ini dimansuhkan, kerajaan juga perlu memastikan harga barangan yang dijual tidak sampai membebankan pengguna.

Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatuan 2011 digunakan untuk memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang sesuka hati, termasuk tindakan menyorokkan barangan harga kawalan serta menaikkan harga dengan alasan kekurangan bekalan.