Pembangkang sokong pembentukan kabinet bayangan

tian-chua-kabinet-bayangan

PETALING JAYA: Pemimpin pembangkang menyambut baik gesaan pengkaji Singapura berhubung cadangan satu kabinet bayangan dibarisi pemimpin muda perlu dibentuk sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Naib Presiden PKR Tian Chua berkata perkara itu akan dibincangkan dengan lebih mendalam menerusi mesyuarat parti itu.

Malah, katanya isu pengganti bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak seharusnya menjadi fokus utama sebaliknya pengukuhan pembangkang lebih penting untuk mengembalikan keyakinan rakyat.

“Pembangkang harus menyertai PRU akan datang dengan lebih bersatu dan menawarkan dasar yang boleh meyakinkan rakyat. Kabinet bayangan juga memerlukan perbincangan dan rundingan antara parti pembangkang.

“Isu membincangkan atau menonjolkan (siapa yang akan menggantikan) peranan Anwar dalam barisan pembangkang terlalu awal untuk dibincangkan.

“Isunya bukan individu yang akan ditonjolkan atau siapa yang layak, tetapi rakyat mahu lihat penggabungan lebih matang dan mantap antara pembangkang,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata cadangan diutarakan Institut Kajian Asia Tenggara (ISEAS) itu sangat praktikal dan sudah tiba masanya parti pembangkang berfikiran jauh dan memahami aspirasi rakyat.

“Sudah sampai masanya semua parti pembangkang membaca dengan jelas isyarat ini dan hentikan politik permusuhan, pelabelan dan politik purba yang mengatakan parti kita saja betul, orang lain semuanya tak betul.

“Saya juga sangat terharu dengan pandangan (pengkaji Singapura) itu dan ini masanya golongan muda untuk memiliki pemikiran lebih ke hadapan bagi mengisi kekosongan itu (menggantikan Anwar sebagai calon perdana menteri). Bagi saya Anwar tetap simbol ikon politik yang masih segar,” katanya.

Sebelum ini, felo Yusof Ishak dari ISEAS berkata gabungan pembangkang perlu mengumumkan kabinet bayangan dan mencadangkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin DAP Lim Kit Siang bertindak sebagai penasihat untuk memberi panduan.

Pada masa sama, beliau mencadangkan golongan muda diberikan laluan sebagai persediaan menghadapi pilihan raya untuk mengambil alih kerajaan yang kini diperintah BN.

“Kita bukan tidak ada kabinet bayangan kerana setiap parti pembangkang sudah ada kabinet bayangan.

“Saya rasa kabinet bayangan ini lebih sihat berbanding BN di mana semua keputusan dibuat Najib dan perkara itu sangat tidak sihat,” kata Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok.