Selepas 3 minggu, wanita insiden stesen minyak meninggal dunia

T. Sarishna

PETALING JAYA: Seorang wanita yang disambar api ketika mengisi petrol di sebuah stesen minyak di Setapak tiga minggu lalu, meninggal dunia Sabtu lalu, China Press melaporkan.

Mangsa yang melecur 60% di badannya menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur sejak tiga minggu lalu dan difahamkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt Mohamad Roy
Suhaimi Sarif yang dipetik Bernama mengesahkan kematian T Sarifhla, 25, pada jam 5 pagi di Hospital Kuala Lumpur.

“Perkara ini dimaklumkan keluarga mendiang hari ini dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya kepada Bernama.

Kejadian itu berlaku pada 28 Jun lalu, apabila guru tuisyen itu menjawab panggilan telefon ketika mengisi petrol di sebuah stesen minyak di Taman Setapak Indah, Setapak.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail dilaporkan sebagai berkata, pakaian mangsa hampir terbakar keseluruhannya dengan kesan melecur di badan, dada dan beberapa bahagian lain.

Beliau berkata, mangsa masih sedar dan mampu memberi maklumat peribadinya kepada anggota bomba sebelum dikejarkan ke hospital.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan mangsa membuka pintu kiri belakang dan mengambil telefon bimbit yang berdering di tempat duduk hadapan kereta ketika beliau mengisi petrol.