Suara Adinda memukau di program nyanyian di China

Adinda-Tasy_2

PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dari Taiping membanggakan negara apabila bakatnya mencuri hati juri dan penonton dalam satu program televisyen bakat kanak-kanak di Hunan, China, awal bulan ini.

Menyanyikan lagu balad milik penyanyi Taiwan, Lin Yu-Chun dalam program realiti “Let’s Sing, Kids”, Adinda Tasya Mansor menyampaikan persembahan yang memukau sehingga menerima tepukan gemuruh dan pujian daripada ketiga-tiga juri program itu, lapor The New Paper (TNP) Singapura, baru-baru ini.

Salam seorang juri, penyanyi kelahiran Malaysia Gary Chaw kelihatan berdiri dan memberi sokongan kepada Adinda walaupun persembahannya belum tamat.

Beliau kemudian memberitahu Adinda dalam bahasa Mandarin:”Persembahan anda sangat hebat.”

Adinda, murid SJKC Sin Min di Taiping, membuat persembahan itu dalam episod pertama program berkenaan yang kini masuk musim keempat, disiarkan pada 2 Julai. Hanya kanak-kanak berusia bawah 14 tahun dibenarkan mengambil bahagian.

Menurut akhbar tabloid Singapura itu, Adinda menyampaikan lagu berikutnya bertajuk “Next Stop In The Future” dalam bahasa Mandarin yang sangat fasih.

“Saya sangat terkejut dan gembira. Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada juri, penonton dan cikgu saya,” kata Adinda kepada TNP dalam satu temu bual menerusi e-mel, merujuk kepada jurulatih vokalnya Jacob Teo, 36, yang mengendalikan pusat latihan vokal di Kuala Lumpur.

Katanya, dia sangat terharu dengan perhatian yang diberikan, dengan video persembahannya di YouTube kini menjadi viral dan mendapat lebih 750,000 tontonan sejak dimuat naik dua minggu lalu.

“Saya mula menjalani latihan vokal kerana mahu belajar menyanyi dengan lebih baik, bukan sekadar menyanyi sendiri,” kata Adinda.

TNP melaporkan meskipun belajar bahasa Mandarin sejak berusia tujuh tahun, Adinda berkata agak mencabar untuk menyanyi dalam bahasa itu.

“Mandarin saya okay dan kakak saya pun bercakap dalam bahasa itu. Tetapi saya dapat banyak bantuan daripada cikgu.

“Kadangkala saya perlukan dia menerangkan maksud lagu itu dan membantu saya dengan liriknya,” katanya dipetik daripada akhbar itu.

Adinda diuji bakat untuk program “Let’s Sing, Kids” menerusi video nyanyiannya yang dihantar ke penerbit.

Dia kemudian ke Hunan bersama ibunya pada 1 Julai bagi pusingan pertama, menjadikan dia peserta Melayu pertama dari Malaysia yang bertanding dalam program itu.

Menurut TNP, Adinda menyertai pelbagai pertandingan bakat sejak empat tahun lalu dan mendapat tempat kelima dalam program terbitan Astro, Ceria Popstar, tahun lalu.

Walaupun berpengalaman membuat persembahan di depan juri, penonton secara langsung dan TV, Adinda berkata dia masih gementar ketika mengambil bahagian dalam “Let’s Sing, Kids”, yang juga pertandingan nyanyian yang pertama di luar Malaysia bagi dirinya.

Dalam program itu, Adinda dibenarkan menyanyi satu lagi lagu oleh juri dan dia memilih “Let It Go” daripada filem Frozen dan mempersembahkannya bersama Gary.

“Gary Chaw ialah rakan senegara dan saya mahu mengambil peluang menyanyi di sampingnya. Kami gembira menyanyi di atas pentas bersama,” katanya, lapor TNP.

Adinda dan ibunya kini kembali semula ke Hunan untuk pusingan seterusnya dalam pertandingan itu, minggu ini.

Sementara itu, populariti Adinda sebagai orang Melayu yang menyanyi lagu Mandarin dibandingkan dengan Shila Amzah, yang turut bertanding dalam satu program TV di Hunan bertajuk “I Am A Singer” pada awal 2014.

Video nyanyian Shila kemudian viral dan kini mempunyai lebih 2.5 juta peminat di media sosial Chia, Weibo. Dia juga dipilih menjadi mentor bagi program “Let’s Sing, Kids” pada tahun yang sama.

Shila, 26, ialah anak kepada penyanyi N D Lala.

https://www.youtube.com/watch?v=5-7uIc0osos