Tak sebut Najib petunjuk hubungan akrab AS-Malaysia, kata IDEAS

Wan-Saiful-Wan-Jan_malaysia_usa_600

PETALING JAYA: Hubungan Malaysia-Amerika Syarikat tidak akan terjejas walaupun Jabatan Kehakiman negara itu semalam bertindak mahu menyita aset berkait syarikat milik Kementerian Kewangan 1MDB, kata seorang penganalisis.

Wan Saiful Wan Jan, yang mengetuai badan pemikir Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), memberitahu FMT beliau tidak menganggap tindakan itu menjejas hubungan kedua-dua negara.

Malah, katanya, hubungan akrab itu dapat dirasai apabila dokumen Jabatan Kehakiman yang menyenaraikan salah laku pelbagai pihak yang dituduh menggunakan wang berkait 1MDB, tetapi langsung tidak menyebut nama Datuk Seri Najib Razak.

“Saya tertarik ketika nama Riza Aziz (dan lain-lain) dinyatakan, nama Najib tidak disebut langsung,” kata Wan Saiful, merujuk anak tiri Najib yang didakwa menggunakan wang 1MDB berjumlah RM256 juta bagi membiayai pembikinan filem “The Wolf of Wall Street” terbitan syarikatnya.

“Nampaknya masih ada perkiraan yang mungkin bersifat politik dan diplomasi yang diambil kira, walaupun ketika menyediakan dokumen mahkamah itu,” katanya lagi.

Selain Riza, dokumen lebih seratus halaman itu turut menyebut nama ahli perniagaan Taek Jho Low dan seorang yang sekadar dikenali “Malaysian Official one” (Pegawai Malaysia satu”), dipercayai pemimpin kanan kerajaan Malaysia.

Wan Saiful berkata sesiapa yang membaca sepenuhnya dokumen tersebut boleh merumuskan ia mungkin merujuk kepada Najib.

Katanya, hubungan dua hala Malaysia-AS lebih besar daripada dakwaan penyelewengan 1MDB.

“Tidak bijak jika disebabkan satu kes yang melibatkan beberapa individu ini, hubungan kedua-dua negara terjejas,” katanya.

Hubungan Malaysia-AS pada tahap paling baik dalam tempoh beberapa dekad selepas Najib mengambil alih kerajaan pada 2009, setahun selepas Barack Obama dilantik presiden AS.

Pada Disember 2014, kedua-dua pemimpin melapangkan masa bermain golf di Hawaii, dan Obama pula sudah dua kali melawat Malaysia.

“Saya kini, untuk rekod, sebagai perdana menteri tunggal yang boleh bermain golf dengan Obama,” Najib memberitahu pelajar Malaysia di New York beberapa bulan selepas itu.