Jais nafi anjur solat hajat bantah Selena Gomez

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais)

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hari ini menafikan mengeluarkan apa-apa arahan kepada masjid dan surau di negeri itu supaya mengadakan solat hajat memohon pembatalan konsert artis Amerika Syarikat, Selena Gomez.

“Adalah ditegaskan di sini, sebarang pembatalan konsert Selena Gomez adalah tertakluk di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan ianya di luar bidang kuasa Jais,” kata kenyataan ringkas Pengarah Jais, Datuk Haris Kasim.

Sebelum ini, salah seorang anggota Exco Selangor dari PAS Ahmad Yunus Hairi menyeru masjid di negeri itu mengadakan solat hajat selepas solat Jumaat hari ini bagi memohon Allah supaya konsert idola remaja itu dibatalkan.

Pemuda PAS dan pimpinan Dewan Ulama parti itu sebelum ini membantah keras tindakan kerajaan negeri membenarkan konsert itu, dengan alasan Selena menampilkan aksi seksi yang boleh menggugat akhlak orang muda.

Persembahan Selena bakal diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam pada 25 Julai 2016 ini.

Sementara itu, Jais mengakui menerima aduan agar konsert tersebut dibatalkan, dan menambah gesaan itu dipanjangkan kepada PBT.

Sebagaimana masyarakat sedia maklum, ‘Konsert Selena Gomez’ bakal diadakan di Stadium Tertutup Malawati, Shah Alam pada 25 Julai 2016 ini.