Ketahui akibat kleptokrasi, kata TI-M

akhbar satar

PETALING JAYA: Pemimpin Malaysia perlu bersedia untuk berdepan dengan akibat tindakan kleptokratik, kata Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Datuk Akhbar Satar.

Beliau berkata kerajaan kleptokratik mengenakan bebanan cukai yang besar kepada orang awam dan syarikat.

“Kerajaan kleptokratik menganggap perbendaharaan negara seperti ia akaun banknya sendiri,” katanya kepada FMT.

“Mereka mengeksploitasi kekayaan rakyat dan menggunakannya untuk kegunaan sendiri atau bermegah; mereka membelanjakannya untuk projek mewah bagi memperoleh lebih banyak komisen.”

Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung tuntutan yang difailkan pendakwa persekutuan Amerika untuk merampas aset yang dikatakan diperoleh menerusi dana dicuri daripada 1Malaysia Development Berhad.

Akhbar berkata negara yang dilabel kleptokratik diperintah kerajaan yang didominasi oleh pemimpin tidak beretika, berpura-pura bersikap jujur tetapi sebenarnya tamak haloba dan terbabit dengan rasuah.

“Ia sebuah kerajaan yang mengamalkan kronisme dan nepotisme dengan memberikan kontrak besar dan kedudukan dalam kerajaan kepada saudara atau rakan rapat berbanding memberikannya kepada calon layak.

“Ia mencipta projek di peringkat dasar dengan alasan utama untuk menyalurkan wang keluar daripada perbendaharaan kepada dirinya sendiri atau kroninya, dengan keperluan untuk projek itu amat sedikit,” katanya.

Negara kleptokrasi, katanya secara literal bermaksud “diperintah oleh pencuri”.

Akhbar berkata Transparency International pada 2004 menamakan presiden Indonesia pada masa itu Suharto sebagai pemimpin dunia paling rasuah bagi tempoh 20 tahun sebelumnya.

“Dia mencuri antara AS$15-AS$35 bilion, mengatasi pemimpin kleptokratik yang kejam Ferdinand Marcos di Filipina yang merompak antara AS$5-AS$10 bilion.

“Pada akhirnya, kebanyakan pemimpin yang rasuah ini digulingkan, ditahan, didakwa atau dihukum penjara seumur hidup. Lebih teruk lagi, pasangan mereka, anak dan keluarga serta generasi mereka merana dan malu.

“Adakah anda bersedia dengan akibat tindakan ini?,” soal Akhbar.