Jamal ajak Bersih demo desak LGE letak jawatan

Jamal-Yunos

PETALING JAYA: Menyambut huluran tangan Maria Chin Abdullah, gerakan Baju Merah hari ini mengajak Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menganjurkan tunjuk perasaan terhadap Lim Guan Eng di Pulau Pinang.

Penganjurnya, Datuk Jamal Yunus berkata himpunan itu dilihat perlu memandangkan Ketua Menteri Pulau Pinang didakwa atas tuduhan rasuah, berbanding Perdana Menteri yang belum berdepan sebarang pendakwaan.

“Lebih baik mereka buat perhimpunan Bersih di Pulau Pinang, desak Lim Guan Eng letak jawatan. Buat apa desak Najib, sedangkan Peguam Negara (Tan Sri Apandi Ali) sudah kata beliau tak bersalah dan duit rakyat tidak digunakan dalam isu 1MDB,” katanya kepada FMT.

Ketua Umno Bahangian Sungai Besar itu berkata demikian menjawab jemputan Maria kepadanya dan Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang untuk bersama Bersih memerangi penyelewengan, terutamanya dakwaan salah guna dana berkaitan 1MDB.

Media melaporkan himpunan aman Bersih 5 dicadangkan susulan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat memfailkan saman untuk menyita aset-aset yang terbabit dalam atau boleh dikesan kepada suatu konspirasi antarabangsa untuk mengubah wang yang dilesapkan daripada 1MDB.

Jamal dilaporkan pernah berkata Baju Merah akan mengadakan himpunan balas serentak sekiranya tunjuk perasaan anti-Najib diadakan.

Dalam satu kenyataan semalam, Keng Liang menggesa Bersih menunjuk perasaan mendesak Guan Eng meletak jawatan sekiranya benar gabungan itu jujur melawan rasuah dan perjuangkan reformasi institusi.

“Kami percaya matlamat utama Bersih adalah menjatuhkan kerajaan sekarang yang dipilih secara demokratik,” kata Keng Liang.

“Ini jelas tidak demokratik dan bertentangan dengan Perlembagaan,” katanya lagi, namun pada masa sama akan membantu Bersih mendapatkan stadium yang sesuai untuk berhimpun.

Maria dilaporkan berkata kes Guan Eng dipengaruhi faktor politik serta berhadapan dengan institusi yang tidak adil, berbeza dengan kontroversi sekitar 1MDB yang menurutnya kes penyelewengan besar.besar.