PETALING JAYA: Lagi kes tembakan berlaku di ibu negara dan mangsa korban terbaru adalah seorang lelaki yang maut serta-merta di tempat kejadian setelah lebih 10 tembakan dilepaskan.
Menurut laporan Oriental Daily, kejadian itu berlaku di hadapan pusat beli-belah Setapak Central yang dahulunya dikenali sebagai Festival City di Danau Kota, dekat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wangsa Maju.
Mangsa berbangsa India itu maut ketika sedang memandu kereta melalui tempat kejadian kira-kira jam 3 petang tadi.
Menurut saksi, penembak melepaskan tembakan ke arah tingkap hadapan dan belakang kereta Honda yang dipandu mangsa lebih 10 kali.
Ini adalah kes kedua dalam tempoh sebulan, selepas seorang ejen hartanah wanita berusia 32 tahun mati ditembak ketika beliau memandu di Taman OUG, Jalan Klang Lama pada 6 Julai lalu.
Datin Renyce Wong Siew Ling maut apabila satu tembakan terkena lehernya, manakala anak perempuannya yang berusia lapan tahun turut cedera terkena tembakan.