32 tahun dalam SPRM, saya pernah terima peluru hidup

Datuk Seri Mohd Shukri Abdull

PUTRAJAYA: Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata sepanjang berkhidmat beliau pernah terima peluru hidup, menderita penyakit misteri, diperangkap dengan dadah dan turut difitnah.

Katanya, sepanjang mempertahankan integritinya memegang amanah dalam jawatan itu, beliau juga difitnah dan dimaki, dengan nasib serupa dialami Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

“Selama 32 tahun kami bersama menjadi pegawai SPRM bukan mudah nak jadi pegawai yang tulen. Terlampau banyak cabaran dan rintangan yang dihadapi.

“Saya hampir mati diperangkap dengan dadah, rumah saya dihantar dengan peluru hidup, saya mengalami penyakit misteri selama sebulan, badan hilang 9kg. Saya juga tidak boleh tidur 14 hari 14 malam, saya difitnah, dimaki kerana perkhidmatan ini.

“Saya dituduh ingin menjatuhkan kerajaan, begitu juga dengan Tan Sri (Abu Kassim), pada saat akhir persaraannya dia dituduh ingin menjatuhkan kerajaan,” katanya sebak sambil menundukkan kepala ketika berucap buat kali terakhir di hadapan 1,000 pegawai SPRM.

Ucapan pada Majlis Paluan Berundur itu sempena perpisahan tiga pegawai tertinggi badan itu, termasuk Abu Kassim dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Pencegahan) Datuk Seri Mustafar Ali.

Dalam ucapannya beliau turut membidas tindakan pihak yang membuat laporan polis terhadap Abu Kassim apabila dituduh terlibat dengan komplot menggulingkan perdana menteri, sebagai tidak berilmu.

“Individu yang membuat laporan terhadap Tan Sri (Abu Kassim) adalah individu yang tidak berilmu, tidak boleh membezakan perjuangan rasuah kerana sayangkan negara,” katanya.

Kenyataan itu dipercayai ditujukan kepada Naib Pemuda Umno Khairul Azwan Harun yang mendakwa Abu Kassim Mohamed, bekas gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akthar Aziz dan bekas peguam negara Tan Sri Gani Patail berkomplot menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Shukri dalam ucapannya turut memberi nasihat kepada ahli politik, hakim dan pegawainya supaya jujur dalam menjalankan tugas kerana akhirnya mereka akan menerima hukuman di akhirat.

“Nasihat saya, kepada para hakim jatuhkanlah hukuman seadil-adilnya kerana semua pihak, siapa pun terlibat, kepada orang politik, menteri, wakil rakyat dan sesiapa saja yang dalam politik ingatlah tuan-tuan di atas sana kerana rakyat.

“Kepada anak buahku, buatlah kerja dengan betul tanpa rasa takut dan gentar kerana di SPRM bukanlah tempat untuk pegawai yang kecut, penakut dan gentar. Peliharalah kebebasan SPRM mencegah rasuah, bukan satu kerja yang mudah, banyak cabaran dan dugaan, hadapi rintangan ini dengan penuh cekal dan tabah,” katanya.

Sementara itu, Abu Kassim menerusi amanatnya menggesa pegawai yang masih bersama SPRM supaya memberi sokongan padu kepada ketua pesuruhjaya baharu.

“Di mana kita semua tahu, ketua (pesuruhjaya) baharu bukan daripada dalam (pegawai SPRM). Saya yakin dengan keputusan yang kerajaan buat.

“Bagaimanapun saya serahkan kepada ketua pesuruhjaya yang baharu. Dalam pada itu pegawai SPRM mestilah memberi penerangan serta mempengaruhi ketua pesuruhjaya yang baharu dan menjadikan SPRM sebagai salah satu agensi pencegahan rasuah yang terunggul,” katanya.

Abu Kassim akan menamatkan kontraknya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM berkuatkuasa 1 Ogos 2016, manakala Shukri akan mengikuti kursus di universiti tempatan sebelum bersara wajib pada Oktober 2016, sementara Mustafa pula akan dilantik sebagai ketua pengarah Jabatan Imigresen Malaysia.