Dituduh mahu jatuhkan Najib, peguam arah Abu Kassim kunci mulut

PUTRAJAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata peguam menasihatinya supaya berdiam diri berhubung laporan polis Pemuda Umno kononnya beliau berkomplot ingin menjatuhkan perdana menteri.

“Saya dinasihati peguam saya yang meminta saya berdiam diri,” katanya ringkas kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Paluan Berundur di Pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.

Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun baru-baru ini membuat laporan terhadap bekas gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Abu Kassim atas dakwaan cuba menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Azwan mendakwa Zeti, Gani dan Abu Kassim memberi maklumat sulit dan dokumen kepada agensi di Amerika Syarikat seperti Biro Siasatan Persekutuan (FBI) tanpa kebenaran agensi kerajaan Malaysia.

Terdahulu, Abu Kassim dalam ucapannya pada majlis itu menggesa pegawainya yang masih bersama SPRM supaya memberi sokongan padu kepada ketua pesuruhjaya baharu.

“Di mana kita semua tahu, ketua (pesuruhjaya) baharu bukan dari dalam (pegawai SPRM). Saya yakin kerajaan akan membuat keputusan tersebut.

“Bagaimanapun saya serahkan kepada ketua pesuruhjaya yang baharu. Pegawai SPRM mestilah memberi penerangan serta mempengaruhi ketua pesuruhjaya yang baharu dan menjadikan SPRM sebagai salah satu agensi pencegahan rasuah terunggul,” katanya.