Pindaan Akta Kanak-kanak: Akses orang awam bakal bawa impak

jenayah kanak

PETALING JAYA: Jika akses kepada daftar pesalah kanak-kanak yang akan diwujudkan susulan pindaan Akta Kanak-kanak baru-baru ini dibuka kepada orang awam, keadaan pasti akan jadi kecoh.

Bekas peguam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Norazah Azizan berkata kewujudan daftar pesalah itu satu cadangan yang baik tetapi ia tidak sewajarnya didedahkan kepada umum.

Beliau berkata adalah lebih baik jika akses daftar pesalah itu hanya diberikan kepada pihak tertentu, sebagai contoh majikan bagi sektor pekerjaan yang ada hubung kait dengan kanak-kanak.

“Sekiranya orang awam mempunyai akses terhadap maklumat pesalah, saya bayangkan keadaan akan menjadi lebih kecoh.

“Mungkin sepatutnya pihak tertentu saja yang boleh mendapatkan akses daripada pihak berkuasa seperti majikan dalam sektor pekerjaan berhubung kanak-kanak ini,” katanya kepada FMT.

Norazah Azizan berpendapat pendedahan daftar pesalah itu kepada umum akan menjejaskan bekas pesalah yang sedang berusaha untuk berubah dan membina hidup baharu.

“Individu yang pernah terkait dengan jenayah kanak-kanak akan tertekan atau ‘rendah diri’ apabila akses dibuka kepada orang awam. Pendapat saya, lebih elok sekiranya akses ini dibuka untuk pihak tertentu saja,” katanya.

Norazah berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Naib Presiden Abim Fadhlina Siddiq agar kerajaan membuka akses kepada orang awam mengenai maklumat pesalah.

Terdahulu, Fadhlina berkata daftar kanak-kanak dilaksanakan pada waktu paling tepat memandangkan negara berdepan dengan isu pedofilia secara serius.

“Kewujudan daftar ini sangat penting bagi rujukan majikan dan orang awam khususnya untuk menilai dan merujuk rekod pesalah yang terbabit dengan kesalahan yang melibatkan kanak-kanak,” katanya.

Sehubungan itu, katanya NGO harus menjalankan tugas advokasi dengan lebih serius khususnya kepada kanak-kanak, ibu bapa dan ahli masyarakat tentang kewujudan daftar itu.

Menyelar tanggapan sesetengah pihak yang mendakwa akta di Malaysia masih ‘longgar’, beliau berkata Malaysia antara negara yang menandatangani dan meratifikasikan Konvensyen Hak Kanak-kanak.

Baru-baru ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim mengumumkan pindaan terhadap Akta Kanak-kanak.

Ia melibatkan empat kandungan utama iaitu Daftar Kanak-kanak, Perintah Khidmat Masyarakat (CSO), penjagaan berasaskan keluarga dan kenaikan penalti.

Rohani juga berkata, kementerian akan mengadakan kempen kesedaran bagi memastikan masyarakat dan semua agensi bersiap sedia sebelum akta itu dikuatkuasakan sepenuhnya.

Menurutnya, Daftar Kanak-kanak adalah rekod pesalah kes melibatkan kanak-kanak, diwujudkan sebagai rujukan kepada majikan terutama dalam sektor pekerjaan membabitkan kanak-kanak sebelum mengambil mana-mana individu untuk bekerja.

Data itu, boleh diperoleh daripada pihak polis dan mahkamah, melibatkan individu yang pernah disabitkan kesalahan membabitkan kanak-kanak seperti kes rogol dan penderaan.

“Sektor pekerjaan terlibat adalah seperti pengasuh, pembantu rumah dan pengawal keselamatan di taska, tadika atau sekolah. Jika majikan ada rasa was-was, kita akan bantu membuat saringan,” katanya.