DAP mahu ‘untung tersembunyi’ jualan diesel didedahkan

Teo-Nie-ChingKUALA LUMPUR: Nampaknya Julai 2016 merupakan bulan rakyat membayar “cukai tersembunyi” kepada kerajaan semasa membeli diesel, dakwa Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching dalam satu kenyataan.

Ini kerana kerajaan mendapat keuntungan berlebihan apabila harga runcit diesel lebih tinggi berbanding harga sebenarnya minyak mentah dunia.

Maka beliau menggesa Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin menjelaskan mengapa kerajaan menaikkan harga diesel sebanyak 10 sen.

“Kerajaan perlu menjelaskan mengapa harga diesel naik 10 sen kepada RM1.70 seliter mulai 1 Ogos 2016. Harga semasa diesel industri hanya RM1.39 seliter,” kata Nie Ching.

Harga purata diesel adalah RM1.60 seliter bulan lepas. Bagaimanapun, harga diesel industri dijual pada RM1.45 seliter. “Harga diesel bagi bulan Ogos sepatutnya turun sekiranya harga berdasarkan kepada harga purata bulanan minyak mentah dunia bagi bulan Julai,” jelas Teo. “kerajaan tak pernah gagal membuat rakyat ‘terkejut’.”

Kerajaan di Parlimen 7 April tahun lepas memberitahu sejumlah RM937 juta dipungut dalam empat bulan pertama sejak sistem apungan terkawal diperkenalkan pada Disember 2014, menurut beliau. “Kerajaan sepatutnya berlaku jujur dengan rakyat.”

Beliau mengemukakan beberapa soalan:

Berapa banyak keuntungan yang dipungut kerajaan sehingga hari ini?

Berapa banyak cukai petrol tersembunyi yang dibayar rakyat sejak sistem apungan terkawal diperkenalkan?

Subsidi untuk RON95 dan diesel dimansuhkan pada Disember 2014 apabila harga minyak sejagat menurun. Sekarang, harga runcit petrol dan diesel ditetapkan mengikut sistam apungan terkawal, yang berdasarkan kepada harga purata bulanan minyak mentah dunia.